Malaysia Dateline

Kes Covid-19 Omicron di Afrika Selatan serang ramai kanak-kanak

Lebih ramai kanak-kanak di Afrika Selatan berumur bawah lima tahun dimasukkan ke hospital, dengan kadar positif lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak berumur 10 hingga 14 tahun.

Pakar kesihatan awam dari Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NICD), Dr Wassila Jassat, berkata pihaknya melihat peningkatan mendadak merentasi seluruh kumpulan usia, terutama mereka berumur bawah lima tahun yang dirujuk ke hospital.

“Kes dalam kalangan mereka berumur di bawah lima tahun sekarang ini kedua tertinggi dan kedua selepas kes dalam kalangan mereka berumur lebih 60 tahun,” lapor AFP.

Saintis memetik beberapa sebab, antaranya kerana kanak-kanak bawah 12 tahun belum layak divaksinasi di Afrika Selatan.

Doktor melaporkan, kedua-duanya sama ada kanak-kanak atau ibu bapa yang diuji positif tidak divaksin, kata Dr Jassat.

Lapor AFP lagi, jangkitan Omicron menular lebih cepat di Afrika Selatan berbanding tiga gelombang terdahulu sepanjang seminggu sejak negara itu memaklumkan kepada dunia mengenai penemuan varian baharu Covid-19 itu.

Kes berasal dari kluster pertama dikesan dalam kalangan pelajar universiti dan ia merebak cepat dalam kalangan anak muda selain ada potensi untuk menjangkiti golongan lebih tua.

Sebelum ini, saintis di Afrika Selatan menegaskan bahawa Omicron mempunyai tiga kali kadar kebolehjangkitan semula, berbanding Delta ataupun Beta.

Ketua kesihatan awam NICD, Michelle Groome, berkata virus terbabit boleh merebak lebih pantas dalam tempoh pandemik di Gauteng iaitu sebuah wilayah di mana terletaknya Johannesburg dan Pretoria.

“Data awal mengesyorkan Omicron adalah lebih menular dan ada beberapa ciri menunjukkan ia boleh melawan vaksin,” katanya.

Meskipun secara umumnya pesakit menunjukkan gejala lebih ringan, Groome memberi amaran permulaan penyakit serius mungkin dijangka dalam tempoh dua minggu akan datang.