Malaysia Dateline

Kes Covid-19 sudah luar kawalan tapi PM minta rakyat bersabar

Kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin minta rakyat sabar langsung tidak munasabah dan terputus realiti.

Hari ini mencatatkan angka paling tinggi sejak pandemik bermula, 13,215 kes.

Dalam seminggu yang berlalu sahaja, Malaysia mencatatkan siri jumlah kes tertinggi 9,353 (10 Julai), 11,079 (13 Julai), dan 11,618 (14 Julai).

Kadar kebolehjangkitan (Rt) kekal melebihi paras 1.0 dan semalam, 14 Julai mencatat angka paling tinggi, 1.19. Kes Covid-19 sudah luar kawalan.

Doktor kontrak sehingga kini tidak diberi kata putus status mereka. Sebaliknya ada yang diancam dengan tindakan. Ramai yang keletihan dan kemurungan.

Ekonomi tidak menentu. Simpanan rakyat Malaysia semakin habis dengan keluaran KWSP sebelum ini menghabiskan dana masa depan mereka.

Moratorium yang diberikan masih dikenakan faedah. Bukan moratorium, tetapi hanya penstrukturan semula pinjaman.

Disebabkan keadaan ekonomi dan kesihatan awam yang gawat, semakin ramai yang mengalami masalah mental. Dalam lima bulan pertama tahun ini sahaja, terdapat 468 kes pembunuhan diri. Ramai yang terkesan juga melibatkan remaja dan belia.

Industri makanan dan minumam (F&B), perhotelan dan perlancongan, dan seni dan kreatif juga semakin kritikal. Ramai pekerja dan penggiat dalam sektor-sektor ini sudah tidak mampu bertahan dan tutup.

Ahli-ahli Parlimen yang cuba untuk membantu rakyat susah pula, dibebankan dengan pelbagai halangan birokrasi. Mereka yang menyuarakan kesusahan rakyat diancam pihak berkuasa, termasuk aktivis, doktor, dan pelajar.

Kehidupan dan masa depan rakyat semakin susah. Selagi kerajaan gagal ini tidak bertukar, bendera hitam dan putih, dan bukan biru, akan terus berkibaran. Protes di alam maya dan fizikal, juga hanya akan bertambah.

Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN), yang seolah-olah hidup dalam dunia lain, mesti undur dan letak jawatan.

*Dikeluarkan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).