Malaysia Dateline

Kes Covid-19 terus tinggi, lagi 3,170 kes baharu, 41,755 kes aktif hari ini

Situasi wabak Covid-19 di negara ini terus mencatatkan kes jangkitan baharu tinggi dengan 3,170 kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kes baharu itu, terdapat lapan kes import atau jangkitan dari luar negara.

Kuala Lumpur mencatatkan kes baharu tertinggi hari ini sebanyak 576 kes diikuti Selangor (545 kes), Johor (423 kes), Sabah (401 kes), Perak (245 kes), Pulau Pinang (171 kes), Kedah (156 kes), Kelantan (135 kes), Sarawak (132 kes), Melaka (106 kes) dan Negeri Sembilan 102 kes.

Hanya empat negeri dan Wilayah Persekutuan yang mencatatkan kurang 100 kes baharu Covid-19 iaitu Pahang (48 kes), Putrajaya (33 kes), Labuan (32 kes) dan Perlis 8 kes.

Rekod jangkitan hari ini menjadikan jumlah kumulatif Covid-19 mencecah 172,549 kes manakala terdapat sebanyak 41,755 kes aktif.

Seramai 260 pesakit Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 103 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 12 kematian hari ini menjadikan jumlah kematian sebanyak 642 kes.

Bagi kluster baharu, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya mengesan 16 kluster baharu dengan tiga kluster masing-masing di Perak dan Johor.

Dua kluster lagi masing-masing dikesan di Kedah, Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah. Sementara itu, Terengganu dan Pulau Pinang mencatatkan masing-masing satu kluster.