Malaysia Dateline

Kes Covid-19: Tiada kenaikan mendadak selepas PKP Fasa 1 dan 2

Tiada kenaikan mendadak berkaitan jumlah kes baharu jangkitan Covid-19 selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 dan 2 dilaksanakan pihak kerajaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setelah hampir sebulan pelaksanaan kedua-dua fasa PKP itu, pihaknya dapat melihat tren jumlah kes baharu Covid-19 sedikit terkawal tanpa kenaikan mendadak.

“Manakala, jumlah kes harian yang dibenarkan pulang dari wad meningkat saban hari. Ini menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan hasil daripada pelaksanaan PKP seperti yang dapat dilihat pada tren jumlah kes aktif harian.

“Susulan PKP fasa pertama dan kedua, PKP fasa ketiga mula dikuatkuasakan pada hari ini, iaitu 15 April 2020 hingga 28 April 2020.

“Ia bertujuan untuk meneruskan tindakan KKM sedia ada, serta menggiatkan lagi usaha mengurangkan kes positif wabak itu di Malaysia dengan menggunakan pendekatan tertumpu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Namun berdasarkan pemantauan yang telah dijalankan oleh pihak berwajib dan keadaan trafik di jalan raya, Dr Noor Hisham berkata, masyarakat didapati semakin tidak akur terhadap arahan PKP berkenaan.

“Sehubungan itu, KKM menyambut baik keputusan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar tindakan lebih tegas diambil atas ketidakakuran segelintir masyarakat.

“Ini diharap dapat memberi impak yang positif dalam meratakan lengkung (flatten the curve) dan seterusnya memastikan fasiliti KKM dapat menampung bilangan pesakit Covid-19.

“Kami khuatir ketidakpatuhan kepada PKP boleh membatalkan usaha keras semua pihak yang telah diambil setakat ini,” katanya lagi.