Malaysia Dateline

Kes Covid hampir empat angka, PKR Sarawak seru usaha selamatkan nyawa rakyat

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak melahirkan kerisauan dan khuatir berikutan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini yang dilihat mencanak naik dalam masa tiga hari berturut-turut.

Naib Presiden PKR Sarawak/Sabah, Dr Michael Teo berkata, selama tiga hari berturut-turut, Sarawak telah mencatat kes baharu yang tertinggi sehingga mencecah 600 sekali gus merisaukan penduduk di negeri ini.

Malah, katanya PKR Sarawak turut kecewa dengan berita yang menyatakan bahawa lapan daripada 10 alat pernafasan ‘ventilator’ Intensive Care Unit (ICU) yang dihantar ke Sarawak oleh Kementerian Kesihatan Malaysia rosak dalam proses penghantaran.

“Ketika ini hospital kerajaan di seluruh Sarawak mengalami tekanan yang serius dalam menghadapi isu pandemik Covid-19.

“Kami amat bersimpati dengan pesakit yang memerlukan rawatan serta keluarga mereka yang turut menderita.

“Justeru, kami sangat menghargai sumbangan dan pengorbanan barisan ‘frontliner’ doktor, jururawat dan semua kakitangan hospital yang bertungkus lumus menyelamatkan para pesakit di bawah jagaan mereka,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Tegas Dr Teo, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) haruslah bekerjasama bagi mengukuhkan sistem kesihatan di seluruh Sarawak supaya lebih berkemampuan menyediakan perkhidmatan bagi menyelamatkan nyawa pesakit.

Menurutnya, reformasi sistem kesihatan telah menjadi agenda yang semakin penting untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat Malaysia khasnya di Sarawak.

“Reformasi penjagaan kesihatan diperlukan bagi meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan kesaksamaan terutamanya untuk penyakit kritikal dan kronik yang serius.

“Hospital kerajaan dan klinik kesihatan dari Lundu ke Lawas telah mengalami masalah infrastruktur, kekurangan peralatan dan kepakaran khususnya daripada segi fasiliti ICU. Banyak di kawasan pedalaman terputus akses bagi mendapat khidmat kesihatan berikutan peningkatan kes.

“Lebih membimbangkan apabila ramai yang hilang sumber pendapatan khasnya individu yang bergaji harian dan pergerakan antara daerah disekat dan terpaksa melalui kos pengangkutan yang tinggi.

“Situasi ini meningkatkan beban yang dialami oleh rakyat Sarawak khasnya golongan B40,” jelasnya.

Dr Teo yang juga Ahli Parlimen Miri menjelaskan, sistem hospital dan klinik kesihatan di kawasan pedalaman harus dipertingkatkan bagi memudahkan penduduk setempat menikmati kemudahan sistem kesihatan yang selamat tanpa perlu melalui perjalanan lima hingga enam jam bagi mendapatkan perkhidmatan pakar.

Beliau berkata, hospital daerah termasuk Hospital Sibu dan Hospital Miri ketika ini sangat memerlukan peningkatan fasiliti.

“Sejak dahulu saya meminta hospital yang terbengkalai bertahun-tahun lamanya seperti Hospital Lawas dan Hospital Petrajaya untuk disiapkan dengan segera. Ini kerana, setiap daerah di Sarawak begitu memerlukan hospital baharu yang dilengkapi dengan fasiliti makmal, radiologi ,kepakaran trauma, ortopedik, obstetrik & ginekologi dan fasiliti ICU yang mantap.

“Rakyat Sarawak memerlukan lebih banyak pusat rawatan kanser dan dialysis bagi mengelak pesakit daripada terpaksa mengharungi perjalanan berjam-jam dengan kos pengangkutan yang tinggi untuk mendapat rawatan,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR Sarawak Agnes Padan memberitahu, ramai pesakit di negeri ini mengalami jurang perbezaan kesihatan dan situasi ini semakin ketara ketika pandemik Covid-19.

“Bayangkan, ramai pesakit kanser dan penyakit kronik yang serius mengalami kelewatan diagnosis dan rawatan akibat pandemik.

“Kes mendiang Jessica Liew, seorang pesakit Kanser Rahim Tahap 4 yang mengikuti pembedahan dan rawatan kemoterapi tidak dapat kembali ke Hospital Likas Wanita dan Kanak-kanak pada Ogos tahun lalu gara-gara penutupan sempadan negeri.

“Kepakaran yang diperlukan tidak ada di kawasan Lawas. Kami berusaha untuk membantu dan mengatur dokumen mendapatkan izin perjalanan dan bantuan pengangkutan agar dia dapat menjalani rawatan.

“Kami juga berusaha mendapatkan beberapa bantuan kebajikan yang kritikal sebelum beliau meninggal pada Mac tahun ini,” luah Agnes.