Malaysia Dateline

Remaja dimandi macam ‘jenazah’: KP AMANAH Nasional akan bayar denda RM4,000

“Saya akan membantu keluarga remaja tersebut untuk bayar semua denda RM4,000 yang dikenakan serta belikan ubat kepada datuk beliau.”

Itu kata Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasbie Muda mengulas insiden seorang remaja di Rawang, Selangor yang dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan didenda RM4,000 selepas dituduh cuba mencuri tabung masjid.

Dalam masa sama, Hasbie menyifatkan tindakan ‘mandi jenazah’ yang dilakukan terhadap remaja lelaki berusia 19 tahun berkenaan dan menyebarkan video itu sebagai amat keterlaluan.

“Maruah dan aib dia perlu dijaga. Apa hak AJK masjid perlakukan seperti itu?

“Hukuman penjara 10 hari sebenarnya lebih dari memadai,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Beliau berpendapat remaja yang ibu bapanya sudah bercerai sejak dia berusia lapan tahun itu sepatutnya diberi peluang kedua.

Sehubungan itu, Hasbie yang juga bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada mantan Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan itu menyeru orang ramai untuk membantu keluarga remaja terbabit.

Untuk rekod, remaja berkenaan tinggal bersama datuknya berusia 70-an dengan makanan dan minuman disedekahkan oleh jiran.

Remaja yang dimandi macam ‘jenazah’ meraih simpati banyak pihak selepas mengetahui latar belakangnya.

Semalam, Mahkamah Majistret Selayang memerintahkan tertuduh yang tidak bekerja itu menjalani hukuman penjara 10 hari bermula dari tarikh tangkap pada 9 Januari lalu dan dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda RM4,000.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Peguam Azman Abdullah, yang mewakili Daniel antara lain berkata, anak guamnya yang merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik itu memohon maaf kepada mahkamah dan pihak masjid.

“Alasan dia (cuba mencuri) kerana dia perlukan duit untuk membeli ubat datuknya yang menghidap penyakit kencing manis.

“Dia cuba meminta kepada orang, tetapi mereka tidak boleh tolong,” katanya yang juga peguam pro bono (tanpa bayaran atau sukarela).

Mengikut fakta kes, pada 8 Januari lalu, pengadu yang juga siak di Masjid Al Islahiah pergi ke masjid itu dan mendapati tabung masjid tiada.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) seorang lelaki dilihat merosakkan tabung masjid sebelum mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid itu pada 11.58 malam.

Orang ramai merentas kaum dan agama meluahkan rasa simpati terhadap remaja terbabit walaupun menyedari apa dilakukannya salah di sisi undang-undang.

Rata-ratanya berpendapat tindakan pihak yang mengambil video ketika remaja itu dimandikan seperti ‘jenazah’ yang kemudiannya tersebar di media sosial sebagai keterlaluan dan dibimbangi mengundang lebih banyak mudarat kepada psikologi keluarga remaja terbabit.