Malaysia Dateline

Kes curi RM25 juta: Bagaimana SPRM boleh dipercayai siasat diri sendiri, soal Guan Eng

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis memberi penjelasan berhubung kehilangan barang kes rasuah melibatkan wang tunai berjumlah AS$6 juta atau kira-kira RM25 juta.

Setiausaha Agung DAP itu berpendapat tindakan Menteri Undang-Undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar mempertahankan Ketua SPRM yang sedang diserang, Azam Baki bertentangan dengan kedaulatan undang-undang, urus tadbir yang baik, ketelusan, integriti dan akauntabiliti awam.

“Azam Baki mendapat tekanan daripada orang awam supaya mengambil cuti rehat bagi memastikan bahawa tidak ada campur tangan dalam siasatan SPRM berikutan penangkapan tiga pegawai kanan SPRM kerana penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan berhubung kehilangan barang kes berjumlah USD6 juta (RM25 juta) milik bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia, Hasanah Abdul Hamid.

“Ini telah mencetuskan persepsi negatif dan kecurigaan orang awam terhadap campur tangan pada tahap tertinggi, ketika pegawai SPRM yang didakwa terlibat dalam kehilangan barang kes, telah direman 12 hari yang lalu dan SPRM hanya mengeluarkan kenyataan rasmi setelah tempoh reman berakhir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berpendapat Azam Baki perlu mengambil cuti rehat memandangkan dia telah dilihat sebagai batu penghalang terhadap siasatan yang bebas dan mengikut lunas undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih serta bebas dari sebarang campur tangan.

“Bagaimana SPRM boleh dipercayai untuk menyiasat dirinya sendiri di atas kesalahan jenayah tersebut?
“Perkara ini juga perlu dikendalikan oleh pihak polis apabila kes kecurian tidak berada di bawah bidang kuasa SPRM tetapi dikendalikan oleh polis.

“Sekiranya demikian, SPRM tidak mempunyai hak untuk menyiasat kes rasuah polis yang perlu diserahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dirinya sendiri,” ujarnya.

Dalam masa sama, Guan Eng menyifatkan skandal AS$6 juta itu semakin menambah ketidakyakinan orang awam terhadap integriti dan kredibiliti SPRM untuk menjalankan siasatan kes rasuah secara bebas tanpa campur tangan.

“Ini disoroti oleh rekod suram SPRM mengenai kegagalan berulang untuk bertindak terhadap tuduhan rasuah oleh ahli politik yang menyokong kerajaan, sementara sanggup dijadikan senjata sebagai alat untuk menganiaya ahli politik pembangkang.

“Sementara kita menunggu perbincangan Wan Junaidi dengan Perdana Menteri mengenai status Azam Baki sebagai Ketua Pengarah SPRM, kedua-dua SPRM dan polis perlu memberi penjelasan mengenai kehilangan barang kes rasuah yang melibatkan wang tunai USD 6 juta,” katanya lagi.