Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad menegaskan hukuman berat patut dikenakan terhadap individu yang melakukan kekejaman terhadap seorang anak penghidap Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella.
Pengarah Komunikasi AMANAH itu berkata, hukuman denda tidak mencukupi terhadap pendera terhadap remaja perempuan berusia 13 tahun tersebut.
“Tak terfikir ada yang sekejam dan tidak berhati perut sebegini. Tak sanggup melihat gambarnya. Kasihan Bella. OKU Sindrom Down.
“Tiada alasan untuk kezaliman yang dilakukan! Hukuman mesti setimpal dengan kesalahan.
“Denda tidak memadai. Wajib dipenjara,” tegasnya dalam ciapan di Twitter sambil berkongsikan poster karikatur Bella yang membandingkan keadaan fizikal mangsa sekarang dengan tahun lalu.
Kempen gerakan sosial dengan tanda pagar #JusticeForBella tular selepas seorang wanita dikenali sebagai Mona Din mendedahkan mengenai penderitaan Bella bermula 6 Julai lalu.
Rakaman video yang memaparkan kesan lecur dan luka di anggota badan Bella dipercayai akibat didera mengundang simpati orang ramai yang menuntut agar individu bertanggungjawab dikenakan hukuman setimpal.
Difahamkan, kes membabitkan remaja OKU itu masih dalam siasatan pihak polis walaupun laporan polis telah dibuat pada 24 Jun lalu.
Kelmarin, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyita Rumah Bonda di Wangsa Maju di ibu negara yang dikaitkan dengan kes penderaan remaja istimewa terbabit.