Malaysia Dateline

Logo SPRM 3

Kes FIC beli hotel: SPRM tahan tiga lagi individu

Hotel Kensington milik Felda di London

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangkap tiga individu bagi membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kuching, Sarawak pada 2014.

Menurut sumber, dua daripada mereka merupakan pengarah sebuah syarikat yang dilantik sebagai ejen untuk menguruskan pembelian hotel berkenaan.

Katanya, kedua-duanya suspek – masing-masing berusia 47 dan 51 tahun – ditangkap di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 9 pagi semalam ketika hadir untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes tersebut.

Seorang lagi suspek ditahan di pejabat SPRM Kuching kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.

Suspek itu merupakan pengarah syarikat berusia 57 tahun yang memiliki hotel tersebut.

“Siasatan awal mendapati pengarah syarikat terbabit melantik syarikat ejen tersebut untuk menguruskan pembelian hotel berkenaan,” kata sumber itu.

Pengarah Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Katanya, dua pengarah syarikat ejen berkenaan direman selama tujuh hari – sehingga 4 Ogos – selepas SPRM mendapat kebenaran dari mahkamah di Putrajaya semalam.

“Seorang lagi suspek dijangka akan direman pagi esok di Putrajaya,” katanya.

Kelmarin, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad mengarahkan kertas siasatan dibuka untuk menyiasat pembelian hotel tersebut yang disyaki telah dibeli dengan harga yang lebih tinggi dari pasaran.