Nota Peguam Siri 1: Polis pun bagi derma bayar jaminan Mat Sabu

Nasar, Hanipa, Mohamad, Aminuddin dan adik Allahyarham Mat Indera, Baharom Indera di Mahkamah Rayuan semalam.

Alhamdulillah, setelah hampir 6 tahun kes ucapan Tuan Haji Mohamad Sabu mengenai tragedi berdarah Bukit Kepong, akhirnya kes itu ada juga pengakhirannya (closure) apabila Mahkamah Rayuan semalam memutuskan sebulat suara menolak rayuan kedua pihak pendakwa raya. Rayuan pertama, pendakwa rayu di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang juga ditolak.

Saya masih ingat Tuan Haji Mat Sabu (@ Abang Mat) mula-mula hubungi saya di akhir bulan Ogos 2011 iaitu di bulan Ramadan (akhir Ramadan dekat nak raya).

Saya masih ingat ayat beliau kepada saya melalui telefon, “Hanipa, hang tolong baca laporan Utusan sat!” Saya pada masa itu di Johor… di rumah ibu mertua.

Saya jawab secara bergurau, “Mana nak cari nasi lemak Abang Mat… Abang Mat pun tahu nak cari Utusan kena cari kertas bungkus nasi lemak dan dalam bulan puasa mana ada orang jual nasi lemak!” Abg Mat hanya ketawa. Saya masa tu masih tak tahu apa yang berlaku.

Bagaimanapun, saya cuba juga cari berita Utusan di portal internet berkaitan ucapan Abang Mat Sabu itu. Selepas baca baru saya tahu apa yang berlaku.

Dipendekkan cerita, isu ucapan Abang Mat itu betu-betul jadi isu panas dan membara kerana disensasikan sebegitu rupa oleh Utusan dan TV3 khususnya. Boleh dikatakan sembang orang ramai di hampir semua tempat pada hari raya tahun itu tak lari daripada tajuk ucapan Abang Mat itu. Puaslah Abang Mat kena maki hamun “in absentia” (tanpa dia ada di tempat dia dimaki hamun itu) kerana yang maki itu terpedaya dengan laporan Utusan dan TV3. Isu sama ada adil atau tidak memaki hamun tanpa didengar daripada pihak yang dimaki terlebih dahulu tak berbangkit langsung!

Masa tu Abang Mat masih dalam parti suci (Pas). Tak sedikit juga orang-orang parti suci yang juga terpengaruh dengan laporan berat sebelah Utusan dan TV3 tersebut.

Hasil berita sensasi itu wujud lebih kurang 1000 lebih laporan polis ke atas Abang Mat. Banyak juga pihak minta dia didakwa. Ada juga yang minta beliau dibuang negara, dicampak ke dalam Laut Cina Selatan, ditarik balik kerakyatan dan sebagainya. Ada juga yang ugut nak simbah asid di muka dan macam- macam lagilah.

Akhirnya Abang Mat didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang. Beliau minta saya wakili dia. Saya kata, “No problem Sir, it is an honour!” Saya pilih dua rakan baik saya, peguam Encik Aminuddin dan Encik Nasar Khan untuk bentuk team peguam bagi membela Abang Mat.

Jika tak silap saya, mulanya pendakwa hanya diwakili oleh Ketua Unit Pendakwa (KUP) Pulau Pinang Datuk Suhaimi dan Saudara Yusaini (senior DPP, kini KUP Perak). Mereka juga kawan baik saya hingga kini. Selepas itu, Datuk Razali (mantan KUP Kedah dan kini KUP Pulau Pinang) dan seorang Timbalan Pendakwa Raya (TPR) wanita (maaf nama tak ingat) juga dibawa masuk dalam team pendakwa.

Seperti biasa perjalanan kes jenayah di Mahkamah bermula dengan dibaca pertuduhan. Ada dua pertuduhan ke atas Abang Mat. Pertuduhan utama (main charge) dan pertuduhan pilihan (alternative charge). Kedu-dua pertuduhan itu di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan – fitnah jenayah (criminal defamation).

Sedikit mengenai pertuduhan itu. Abang Mat dituduh memfitnah polis-polis yang sudah meninggal dunia atau terkorban dalam tragedi serangan gerila komunis di Bukit Kepong pada 1950. Ini, setakat pengetahuan saya, kes pertama di Malaysia – memfitnah orang mati!

Ada beza sikit undang-undang fitnah antara fitnah kes sivil dan kes jenayah. Dalam kes fitnah sivil, kita tak boleh saman kes fitnah orang yang dah mati. Tapi, dalam kes jenayah boleh… cuma tak pernah berlaku dalam negara ini, no precedent (tiada ks duluan). Itulah barangkali menyumbang kepada pertuduhan yang cacat (defective charges).

Lepas dibaca pertuduhan dan Abang Mat memilih untuk tidak mengaku salah, pihak pendakwa tawarkan jaminan tapi tawaran itu amat tinggi dan luar biasa – RM50,000!

Saya membantah sekuat-kuatnya. Saya tak lafaz kalimah ‘gila’ tapi bagi saya, tindakan pendakwaan itu lebih kurang begitulah. Saya kata tujuan jaminan hanya nak pastikan kehadiran OKT (orang kena tuduh). Jadi di mana rasionalnya jaminan yang amat tinggi. Ini saya kata sudah macam menghukum sedangkan saya kata juga, prinsip undang-undang jenayah adalah “seseorang itu dianggap tidak bersalah kecuali dibuktikan sebaliknya”.

Mengenakan jaminan yang amat tinggi (exhorbitant), saya kata, bertentangan dengan prinsip yang saya rujuk itu. Lagipun, saya juga kata, Abang Mat telah memberi kerjasama yang amat baik dengan pihak polis. Polis arah dia mai ke balai dia mai, arah mai mahkamah dia mai… very cooperative!

Alhamdulillah, hakim tolak saranan pendakwa minta nilai RM50,000 untuk jaminan, tapi dia putuskan tak silap saya RM15,000… itu pun bagi kami, masih tinggi. Dalam konteks kes di Mahkamah Sesyen… tapi itu lebih baik daripada RM50,000. Jadi kami pun tak bantah.

Maka misi berikutnya adalah mencari duit. Maka ‘derma jihad’ (taklah pakai tin Milo) dilancarkan di dalam mahkamah. Yang menariknya, ada pegawai polis yang juga bagi sumbangan daripada elaun makan harian dia. Cuma dia minta tolong ambil duit itu di tandas… takut polis lain nampak! Tak apa kami terima. Tandas pun tandaslah!

Bersambung insya Allah…

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
2 user votes x 9.5
CATEGORIES
TAGS