Kes fitnah membabitkan kematian penyanyi terkenal, Siti Sarah akhirnya selesai selepas lelaki dikenali sebagai John Dihani tampil membuat satu permohonan maaf.
Permohonan maaf tersebut dibuat John Dihani di Kompleks Mahkamah Shah Alam yang turut dihadiri pelawak, Shuib selaku suami Siti Sarah bersama seorang peguam.
Sempat dirakam sebelum dikongsi di laman Instagram Shuib, pelawak itu mengakui bersedia memaafkan John walaupun fitnah tersebut memberi kesan kepada dirinya.
Walau bagaimanapun, John atau nama sebenarnya Mohd Johan Dihani Mohd Zaini itu tetap perlu membayar wang tuntutan saman yang tidak didedahkan jumlahnya.
“Alhamdulillah, hari ini 10 Januari 2024 selesai sudah kes fitnah terhadap diri saya dan arwah Siti Sarah Raisuddin Hampir lima bulan (berlalu) dan hari ini semuanya telah pun terjawap.
“Fitnah kamu John Dihani adalah langsung tidak berasas dan juga tidak masuk akal! Tetapi atas dasar ikhsan dan profesional, saya maafkan kamu dan halalkan segala fitnah terhadap saya.
“Untuk saman ini, ada jumlah yang perlu dibayar. Cuma saya tidak boleh jelaskan berapakan jumlahnya,” tulis Shuib dalam ruangan kapsyen video permohonan maaf tersebut.
Menerusi hantaran sama, pemilik nama sebenar Shahmira Muhammad itu berkata, duit penyelesaian saman dibayar John akan disalurkannya kepada Tabung Palestin.
Pertubuhan amal yang dipilih Shuib adalah Yayasan Nurjiwa milik penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri khalid Mohamad Jiwa.
Usahawan selebriti itu berharap agar kejadian ini dijadikan pengajaran buat orang ramai termasuk John supaya lebih berhati-hati dalam menggunakan media sosial.
“Hasil duit saman akan disalurkan ke Tabung Palestin dibawah Yayasan Nurjiwa. Saya doakan semoga awak dipermudahkan segala urusan. Semoga ini juga menjadi pengajaran pada semua supaya lebih berhati-hati menggunakan media sosial.
“Jangan suka-suka menabur fitnah tanpa usul periksa. Jangan jadikan fitnah satu perkara normal. Ini bukan budaya kita orang Malaysia. Assalamualaikum.” Ulas ahli perniagaan berusia 40 tahun itu.
Terdahulu, John Dihani menerusi Instagram telah memuat naik kenyataan berunsur fitnah dengan membabi buta menuduh Shuib sebagai ahli organisasi Freemason.
Shuib juga didakwa berkonspirasi dengan organisasi itu dengan sengaja membiarkan Siti Sarah ditidurkan sebelum meninggal dunia akibat virus Covid-19, dua tahun lalu.
Baca juga: Cederakan penghantar barang, ‘abang blazer merah’ kena denda RM2k