Malaysia Dateline

Kes gangguan seksual serius, Menteri Wanita digesa berundur

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun digesa meletakkan jawatan ekoran dilihat gagal memperjuangkan isu gangguan seksual.

Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR berkata, langkah itu perlu dilakukan Ketua Srikandi Bersatu berkenaan memandangkan lewat membentangkan Rang undang-undang (RUU) berkaitan gangguan seksual.

Pengerusinya, Fadhlina Siddiq berkata, dakwaan seorang pelajar menerusi laman Tik Tok berkenaan guru lelaki di sekolahnya yang mempersenda jenayah rogol dan maruah wanita semasa sesi kelas membincangkan isu gangguan seksual.

“Dengan tahap keseriusan kes-kes gangguan seksual yang berlaku dalam masyarakat, mengapa terus berlaku kelewatan dalam pembentangan RUU Akta Gangguan Seksual di Parlimen?

“Bentang RUU Akta Gangguan Seksual di Parlimen atau undur diri dengan bermaruah!” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadhlina Siddiq

Dalam masa sama, katanya, Kementerian Pendidikan juga mesti segera mengambil perhatian terhadap dakwaan pelajar itu.

“Menteri Pendidikan, Radzi Jidin harus segera memberikan respon dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas dakwaan yang serius ini,” katanya.

Fadhlina turut berpendapat warga pendidik sepatutnya memberikan advokasi dan maklumat yang tepat tentang isu gangguan seksual.

“Mempersenda jenayah rogol dan maruah wanita adalah bentuk jenayah gangguan seksual yang nyata serta melibatkan isu moral.

“Perbuatan tidak bertanggungjawab warga pendidik itu adalah dakwaan yang serius dan memerlukan siasatan menyeluruh kerana dibimbangi budaya ‘rape culture’ akan menular dan menjadi normalisasi dalam masyarakat,” katanya lagi.