Kes Guan Eng dipindah ke Mahkamah Tinggi, Peguam Negara disorak

Kes Guan Eng dipindah ke Mahkamah Tinggi, Peguam Negara disorak

Tiada pengakuan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng direkodkan di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang kerana kes beliau dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini untuk sebutan, lapor Bernama.

Sementara itu Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menjadi personaliti paling tidak digemari pagi ini apabila disorak orang ramai ketika memasuki dewan mahkamah.

Orang ramai yang majoriti penyokong Guan Eng menyorak dan melaungkan “Bebas Guan Eng, tangkap Najib” sebalik melihat kelibat Apandi.

Apandi mengambil tempat beliau dengan pasukan pendakwaan dan dilihat berbual dengan peguam Guan Eng, Gobind Singh, lapor Malaysiakini.

Antara yang hadir di mahkamah ialah pemimpin utama DAP, PKR dan Amanah.

Turut kelihatan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Ketua Menteri I Rashid Hasnon, Exco hal ehwal agama Abdul Malik Kassim dan Pengerusi PKR negeri, Mansor Othman.

Sebaik tiba di mahkamah, Guan Eng memeluk ibunya dan isterinya Betty Chew sambil bersalaman dengan bapanya, Kit Siang.

Guan Eng tersenyum dan memberitahu wartawan, “Saya baik-baik saja”, dan dilihat berbincang dengan peguam dan Gobind Singh.

Perbicaraan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Roslan Hamid.

Guan Eng didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009 berkaitan dakwaan pengezonan semula sebidang tanah daripada pertanian kepada kegunaan komersial.

Beliau juga didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan berhubung dakwaan pembelian sebuah unit banglo di Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran.

Pasukan peguam Guan Eng termasuk Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, M Kulasegaran dan RSN Rayer.

Sementara itu, ahli perniagaan wanita Phang Li Khoon, yang menjual banglo tersebut kepada Lim, juga didakwa.

Beliau diwakili peguam K Kumaraendran dan Devkumar Kumarendran.

Dalam perkembangan berkaitan, Parti Amanah Negara Pulau Pinang menyatakan solidariti terhadap Guan Eng.

Pengerusinya, Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa dalam satu kenyataan berharap siasatan SPRM dilaksanakan secara telus dan tidak terpengaruh dengan tekanan politik malah pihaknya meyakini Guan Eng tidak bersalah.

“Saya berada di Bangunan SPRM bersama rakan-rakan bagi menunjukkan sokongan ke atas pendakwaan terpilih yang dikenakan ke atas YAB Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Jika pendakwaan ini bertujuan melemahkan kami dan perjalanan politik kami, mereka silap kerana kami semakin kuat semangat untuk meneruskan perjuangan membela rakyat,” tegas beliau.

Pemimpin dan ahli Amanah, ujarnya akan berada di mahkamah untuk menyatakan solidariti bersama Guan Eng.

COMMENTS

Wordpress (0)