Malaysia Dateline

Kes harian Covid-19 Afrika Selatan naik akibat varian Omicron

Pakar epidemiologi terkemuka, Dr Salim Abdool Karim memberitahu varian Covid-19 Omicron mungkin mencetuskan lonjakan kes di Afrika Selatan, menyaksikan jangkitan harian meningkat tiga kali ganda minggu ini.

Beliau berkata demikian pada taklimat media dengan Kementerian Kesihatan secara dalam talian, lapor BH memetik AFP.

Pasukan Pemantau Kesihatan melaporkan lebih 2,800 jangkitan kelmarin, melambung daripada purata harian 500 kes berbanding minggu lalu dan 275 kes pada minggu sebelumnya.

“Kami boleh menjangkakan kemungkinan penularan yang lebih tinggi dan kami akan mendapat lebih banyak kes dalam tempoh yang singkat.

“Saya menjangkakan kita mengatasi lebih 10,000 kes sehari menjelang akhir minggu dan tekanan ke atas hospital dalam tempoh dua, tiga minggu akan datang,” kata Dr Salim.

Kes pertama varian Omicron dilaporkan di Botswana pada 11 November lalu, manakala Afrika Selatan pada 14 November dan diikuti Hong Kong pada 25 November yang mempunyai sejarah melawat Afrika Selatan.

Pada 25 November lalu, saintis Afrika Selatan mengumumkan penemuan varian baharu yang sangat cepat bermutasi dan peningkatan kes mendadak disebabkan jangkitan di negara paling teruk terjejas di benua Afrika itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan B.1.1.529 iaitu Omicron sebagai varian yang membimbangkan (VOC) dan masih menilai sejauh mana ia memudaratkan, walaupun pakar bersetuju ia berkemungkinan merebak dengan pantas.

Doktor turut memberi amaran bahawa simptom yang dihadapi pesakit yang dijangkiti varian Omicron adalah luar biasa termasuk mengalami keletihan teruk tetapi tidak melibatkan kehilangan deria rasa atau bau setakat ini.

Wujud juga kebimbangan varian yang mempunyai 32 mutasi protein pepaku iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta itu mungkin lebih tahan terhadap antibodi tertentu.

Setakat ini, kesan teruk penyakit daripada varian ini masih belum dapat ditentukan, walaupun bukti awal menunjukkan simptom agak ringan.

“Walaupun Omicron tidak secara klinikal lebih teruk, dan pastinya ia tidak menimbulkan sebarang tanda merah lagi… kita akan melihat (peningkatan kes) dalam semua kemungkinan kerana kepantasan penularan,” kata Dr Salim.

Banyak negara pada masa ini melaksanakan larangan perjalanan ke atas Afrika Selatan dan negara jirannya dalam usaha untuk menghalang Omicron.

Pada 26 November lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, memaklumkan pihaknya mengenakan sekatan perjalanan dari negara ini ke tujuh negara di Afrika bermula Sabtu.

Tujuh negara berkenaan ialah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.