Malaysia Dateline

Kes harian Covid-19 turun kerana ujian saringan kurang

Penurunan jumlah baharu kes positif Covid-19 dilihat berkait dengan jumlah saringan yang dikurangkan.

Pengamal perubatan, Datuk Dr Amar Singh berpendapat adalah tidak bermakna rakyat diberitahu bilangan kes harian pandemik itu berkurang tanpa mengambil kira jumlah saringan.

“Kes (harian positif Covid-19) akan turun sekiranya kita kurang melakukan ujian saringan,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Beliau turut berkongsikan graf ujian saringan harian dan kes jangkitan bagi tempoh 10 hari sejak 29 Mei hingga semalam.

Daripada graf itu secara umum, jumlah kes harian Covid-19 yang dilapor jatuh apabila jumlah saringan dibuat KKM berkurang.

Dr Amar turut berpendapat terlalu sedikit ujian saringan dilakukan untuk wabak besar yang telah mengorbankan 3,460 orang setakat semalam.

Untuk rekod, Malaysia merekodkan kes harian Covid-19 tertinggi apabila 9,020 kes baharu direkodkan pada 29 Mei lalu.

Kes kematian harian tertinggi sejak penularan Covid-19 di negara ini pula dengan 126 kes dilaporkan setakat 2 Jun lalu.