Kes Husam seperti Muhyidin hadapi permainan politik pelik, kata Pemuda Amanah

Kes Husam seperti Muhyidin hadapi permainan politik pelik, kata Pemuda Amanah

Ketua pemuda Amanah Kelantan, Hasmi Hassan menyifatkan apa yang menimpa Datuk Husam Musa yang dipecat partinya sama seperti yang berlaku kepada Tan Sri Muhyidin Yasin yang melalui satu proses keadilan di luar kebiasaan yang diamalkan oleh kedua-dua parti ini dan kelihatan sungguh pelik.

“Mungkin itulah nasib buat mereka yang selalu berfikir dan bercakap tentang nasib rakyat bawahan, tentang salah laku dan kepincangan, tentang penipuan dan penyelewengan.

“Semuanya akan dibuang sepertimana yang berlaku pada Tan Sri Muhyiddin dan rakan-rakan.

“Kes ini persis seperti Tan Sri Muhyiddin yang langsung dibuang tanpa melalui proses keadilan. Amalan kedua-dua parti ini kelihatan sama. Sungguh pelik politik begini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Dalam proses mencapai keadilan dalam menghukum katanya , sepatutnya hujah dan alasan yang tertuduh patut didengari dengan saksama. Hujah sepatutnya dibalas dengan hujah. Inilah yang saya semat dan faham apabila berbicara soal mecapai keadilan dalam Islam.

Namun menurut beliau, sangat malang dan sadis buat sebuah parti politik yang meletakkan Islam sebagai dasar membuat tindakan yang cukup bertentangan sama sekali. Bukan sahaja berkaitan dengan kes pemecatan Husam, bahkan beberapa lagi siri-siri kes yang lain sebelum ini.

“Oleh sebab itu, saya langsung tidak terkejut dengan keputusan pada hari ini.” ujarnyaa.

Beliau yang merakamkan takziah atas pemecatan tersebut berkata bukanlah berniat mencampuri urusan orang lain. Namun dalam konteks politik demokrasi, tidak salah jika melontarkan pandangan.

“Meminjam kata filasuf Aristotle kepada gurunya, ‘aku mencintai Plato, namun kebenaran lebih aku cintai’.

“Kelihatan beliau masih sayang kepada partinya, tapi dalam masa sama, kelihatan prinsip dan kebenaran lebih dicintainya,” katanya.

Menurut beliau Husam merupakan orang yang berprinsip serta banyak pengalaman dalam politik.

“Beliau lebih tahu apa yang patut untuk dilakukan selepas ini. Tak perlu untuk kami mencadangkan itu dan ini. Bagi kami, semoga Datuk terus tabah dalam mengharungi cabaran perjuangan ini.” ujarnya.

TAGS