Malaysia Dateline

Kes Iki Putra: “Apa tohmahan yang saya terima jika masih Menteri Agama”

Semasa saya menjadi Menteri Agama di bawah JPM, saya senantiasa memastikan dasar penggubalan di bawah kluster undang-undang tidak bertindih antara kuasa Persekutuan dan kuasa Negeri-negeri. Saya terikat dengan doktrin perundangan ini semasa menjalankan tugas saya sebagai ahli eksekutif.

Peruntukan kuasa untuk gubal undang-undang syariah terletak kepada negeri-negeri. Namun bagi memastikan keadilan, Undang-undang Syariah di negeri tidak boleh digubal dalam keadaan bercanggah dengan peruntukan undang-undang yang digubal di Parlimen.

Dalam kes Iki Putra bin Mubarrak v Kerajaan Negeri Selangor & Anor doktrin ini terpakai setakat mana percanggahan itu dan menjadi asas kepada keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

Menyedari realiti perundangan dalam sistem Federalisma ini, strategi saya dalam memperkasakan perundangan Syariah adalah melalui libat urus berterusan dengan pihak negeri-negeri dalam memastikan penyelarasan Undang-undang Jenayah Syariah diseragamkan terlebih dahulu.

Banyak aspek dari sudut bentuk hukuman, jenis hukuman yang bercanggah antara negeri dan ketiadaan peruntukan rehabilitative (pemulihan) dikenalpasti. Percanggahan ini tidak melambangkan ketertiban dan identiti Perundangan Syariah yang sepatutnya selaras dan seragam dari sudut hukuman dan jenayahnya antara negeri. Inisiatif keseragaman dan libat urus antara negeri dilakukan melalui Jawatankuasa Syara’ dan Sivil yang saya telah letakkan aras tanda (milestones) sepanjang garis masa tertentu untuk mencapai sasaran keseragaman.

Kedua, saya meletakkan keutamaan Mahkamah Syariah sebagai teras pengukuhan melalui JKSM (Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia). Saya dan Timbalan saya mensasarkan kualiti Hakim dan kualiti Penghakiman yang perlu mencapai piawaian tertentu. Pendedahan kepada ilmu alat seperti Bahasa Arab, ilmu teras Usul dan Maqasid Syariah serta prinsip penghakiman secara universal adalah antara kayu pengukur kualiti yang dimaksudkan.

Selain itu penggubalan Akta Profesion Guaman Syarie (2019) yang diluluskan di Parlimen adalah sebahagian program pengukuhan bagi mempertingkatkan kualiti peguam syari’e dan menjaga hak para pelanggan yang dikawal oleh satu perundangan bebas dan tersendiri.

Peningkatan kualiti peguam syarie’ melalui akta ini akan memperkukuhkan kualiti Hakim-hakim Syarie kita.

Menyedari kuasa dan kes yang tertunggak melibatkan isu tuntutan cerai, nafkah dan hak penjagaan, saya telah menubuhkan Mahkamah khusus Hadhanah bagi menyelesaikan isu hadhanah dan nafaqah dan mempercepatkan proses dengan meletakkan piawaian supaya negeri-negeri dapat mencontohinya.

Secara jangka panjang berpandukan kepada gagasan Rahmatan Lil Alamin, falsafah hukuman juga diasaskan kepada konsep rehabilitative (pemulihan) dan bukan semata-mata punitive (hukuman denda). Konsep bon berkelakuan baik, kerja komuniti dimasukkan sekali dalam aras tanda penyelerasan yang sudah pun diarahkan berjalan sejak 2018 lagi.

Inilah kerangka pengukuhan perundangan syariat yang saya termampu rencana dan laksanakan. Ini tidak termasuk dasar di dalam kluster dakwah dan media untuk mencapai masyarakat RAHMAH yang memupuk peribadi muslim yang akan membina kesejahteraan masyarakat. Banyak lagi program melalui bajet khas RM10 juta diperuntukkan untk tahun 2020 melebarkan dasar Menuju Negara RAHMAH yang telah kami rencanakan tak dapat dilaksanakan kerana rampasan kuasa yang berlaku Feb 2020.

Kes keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa penggubalan enakmen 29 E Jenayah Syariah negeri Selangor tidak sah kerana bercanggah dengan kuasa Persekutuan bukanlah isu yang perlu kita sensasikan kononnya jenayah seks luar tabie termasuk amalan LGBT seolah diberi laluan. Itulah gamaknya tohmahan yang akan saya terima jikalau keputusan Mahkamah Persekutuan itu dikeluarkan semasa saya menjadi Menteri Agama!

Soalnya ialah Islam agama penuh tertib di mana secara penggubalan undang-undangnya wasilah atau proses penggubalan itu adalah sebahagian daripada maksud perundangan itu sendiri (al A’dl wa al Ihsan).

Saya berpandangan semua pihak perlu hormati keputusan dan berusahalah dalam keluasan ruang yang ada melihat Syariat dalam skop yang lebih terbuka, inklusif dan progresif.

Banyak aspek lain dari perundangan wakaf dan zakat boleh diperkasakan lagi tanpa masalah pertindihan kuasa. Pemerkasaan aspek perundangan Wakaf dan Zakat akan berkhidmat untuk meningkatkan sosio ekonomi umat yang lebih kritikal kita utamakan pada waktu ini. Allah berfirman

(۞ إِنَّ ٱللَّهَ یَأۡمُرُ بِٱلۡعَدۡلِ وَٱلۡإِحۡسَـٰنِ وَإِیتَاۤىِٕ ذِی ٱلۡقُرۡبَىٰ وَیَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَاۤءِ وَٱلۡمُنكَرِ وَٱلۡبَغۡیِۚ یَعِظُكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ)
[Surah An-Nahl 90]

Allah memerintahkan kamu untuk berlaku Adil dan berbuat Ihsan dan memberi pertolongan kepada kaum kerabat kamu serta melarang kamu dari berbuat keji dan munkar serta melampau batas. Dia menasihati kamu semoga kamu mengambil peringatan (al Nahlu : 90)

Alhamdulillah saya dipandu secara resminya semasa menggalas amanah ini dengan Gagasan Rahmatan Lil Alamin bersendikan pemikiran Maqasid Syariah dan berpijak pada Kearifan Lokal (Model Malaysia) untuk saya memperjuangkan kepentingan Islam dalam negara tercinta ini.