Kes Indira Ghandi: Kesan perundangan terhadap pentadbiran agama Islam

Kes Indira Ghandi: Kesan perundangan terhadap pentadbiran agama Islam

 

Baru-baru ini rakyat Malaysia terkejut dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah membatalkan surat perakuan menganut agama Islam ke atas anak-anak Indira Ghandi A/P Mutho bersama pasangannya Pathmanathan A/L Khrisnan (Mohd Ridzuan Abdullah).

Dalam kes ini, pasangan ini telah bernikah pada 10 April 1993 di bawah Akta Undang-Undang Membaharui (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Mereka dikurniakan dengan tiga anak iaitu Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinish (11 tahun) dan Prasana Diksa (11 bulan) pada mula kes ini difailkan pada tahun 2009.

Pada 11 Mac 2009, Pathmanathan telah memeluk agama Islam. Pada masa itu, dua anak mereka iaitu yang pertama dan kedua tinggal bersama ibu mereka dan yang ketiga bersama dengan Mohd Ridzuan.

Pada 8 April 2009, Mohd Ridzuan telah memperolehi perintah interim ex-parte (perintah sebelah pihak) hak penjagaan ke atas ketiga-tiga anak daripada Mahkamah Syariah dan seterusnya pada 29 September 2009 memperolehi perintah kekal hak penjagaan ke atas ketiga-tiga anak itu.

Indra Ghandi (kiri) dan Redzuan Abdullah (tengah) ketika kes perbicaraan pasangan suami isteri berlainan agama di Mahkamah Persekutuan.

Dalam bulan April 2009, Indira Ghandi telah menerima dokumen daripada suaminya bahawa ketiga-tiga anak itu telah menganut agama Islam berkuatkuasa pada 2 April 2009 dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak telah mengeluarkan tiga sijil perakuan menganut agama Islam. Dokumen tersebut juga menunjukkan Pendaftar Muallaf telah mendaftarkan anak-anak itu sebagai orang Islam.

Oleh kerana terkilan dengan tindakan itu, pada 9 Jun 2009 Indira Ghandi telah menfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Ipoh untuk membatalkan sijil perakuan menganut agama Islam.

Indira Ghandi juga telah memohon hak jagaan anak di Mahkamah Tinggi Ipoh dan pada 11 Mac 2010 Mahkamah Tinggi Ipoh telah mengeluarkan perintah hak jagaan ke atas ketiga-tiga anak itu, termasuk perintah supaya suaminya itu menyerahkan anak bongsu kepadanya serta-merta.

Indira Ghandi kemudiannya telah menfailkan permohonan cerai atas alasan suaminya telah menganut agama Islam dan perintah perceraian telah dikeluarkan pada 8 Ogos 2012.

Di Mahkamah Persekutuan, ada tiga isu besar yang telah diputuskan oleh lima orang Hakim iaitu Zulkefli Ahmad Makinuddin, Richard Malanjum, Zainun Ali, Abu Samah Nordin dan Ramly Haji Ali.

Isu pertama adalah berkaitan dengan bidangkuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah iaitu sama ada Mahkamah Sivil mempunyai bidangkuasa untuk menyemak apa-apa keputusan yang dibuat oleh pihak pentadbiran kerajaan termasuk oleh Pendaftar Muallaf Negeri Perak yang telah menjalankan kuasanya sebagai pihak berkuasa awam di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004.

Isu kedua adalah sama ada seorang kanak-kanak daripada sebuah perkahwinan bukan islam yang telah dilangsungkan di bawah undang-undang sivil dan belum mencapai umur 18 tahun mesti mematuhi kehendak Seksyen 96(1) dan 106(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 sebelum Pendaftar Muallaf boleh mengeluarkan sijil perakuan menganut agama Islam.

Seksyen 96(1) itu menyatakan bahawa seseorang yang ingin menganut agama Islam mestilah mengucapkan dua kalimah syahadah dalam bahasa Arab. Seksyen 106 pula menyatakan bahawa seseorang itu boleh menganut Islam jika telah mencapai usia 18 tahun, dan jika belum mencapai usia itu dia perlu mendapatkan kebenaran ibu bapanya atau penjaganya secara bertulis.

Isu ketiga adalah sama ada kedua-dua ibu dan bapa daripada perkahwinan sivil mesti memberikan kebenaran sebelum surat perakuan menganut agama Islam dikeluarkan kepada anak tersebut.

Untuk tujuan artikel ini, hanya isu kedua sahaja yang akan diulaskan ringkas kerana ruangan yang terbatas. Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa Seksyen 96(1) dan Seksyen 106 itu mestilah dibaca bersama dalam konteks penganutan agama Islam oleh seorang kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Mahkamah mendapati fakta kes ini menunjukkan bahawa anak-anak itu tidak pernah dibawa berjumpa Pendaftar dan tidak pernah mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Pendaftar sebelum sijil perakuan menganut agama Islam dikeluarkan.

Oleh itu, Mahkamah mengatakan bahawa Pendaftar Muallaf telah bertindak melampaui batasan undang-undang yang dibenarkan dan menyebabkan sijil perakuan menganut Islam bagi anak-anak pasangan ini adalah terbatal serta tidak sah. Mahkamah juga mendapati tiada surat kebenaran ibu bapa yang diberikan kepada Pendaftar.

Dalam penghakiman itu, Mahkamah juga mengulas bahawa Islam terbina atas dua asas utama itu keadilan (al-adl) dan permesyuaratan (as-syura). Mahkamah mendapati tiada perbincangan dibuat sebelum si suami yang menganut agama Islam memohon sijil perakuan menganut agama Islam itu dikeluarkan. Sepatutnya si suami ini menunjukkan contoh yang baik supaya akhlak Islam akan terus dipandang mulia oleh masyarakat dan akhirnya mereka sendiri akan tertarik dengan ajaran Islam.

Penghakiman oleh Mahkamah Persekutuan ini perlu diambil iktibar oleh para pentadbir di pejabat agama Islam di negeri-negeri. Penghakiman ini juga menunjukkan bahawa ada kelemahan dalam pentadbiran undang-undang khasnya dalam memahami undang-undang.

Usaha untuk memperkemaskan pentadbiran agama Islam wajar dibuat dan latihan berterusan perlu dilakukan supaya pentadbiran agama Islam ini lebih profesional dan dipandang tinggi. Apatah lagi, Majlis Agama Islam di negeri-negeri adalah penasihat utama kepada Raja-Raja Melayu yang menjadi Ketua Agama Islam di negeri-negeri maka sewajarnya tahap profesional pentadbiran agama Islam perlu lebih cemerlang.

Para pentadbir ini perlu mentadbirkan agama Islam mengikut undang-undang yang diluluskan secara rasional tanpa membabitkan emosi serta fahaman agama atau politik masing-masing. Jika fahaman agama dan politik dicampur-adukkan maka ianya akan merendahkan tahap dan mutu pentadbiran.

Kes Indira Ghandi ini perlu dijadikan sebagai asas dan semangat untuk mengembangkan agama Islam serta meneruskan usaha dakwah secara lebih berkesan. Hakikatnya, Hakim Mahkamah Persekutuan sendiri melihat tindakan Mohd Ridzuan yang gagal mempraktikan keadilan (al-adl) dan permesyuaratan (as-syura) dalam hal ehwal rumah tangganya khasnya berkaitan dengan pengeluaran sijil perakuan menganut agama Islam.

Menganut agama Islam bukan sekadar ditulis di sijil sahaja bahkan ianya hendaklah menjadi suatu amalan hidup melalui penzahiran akhlak yang terpuji supaya orang bukan Islam tertarik kepada Islam dengan rela hati dan bukan dengan paksaan.

Memisahkan ibu kandung daripada anak kandung juga bukanlah suatu tindakan yang baik. Seharusnya dalam konteks masyarakat Malaysia ini hal ini perlu dipandang lebih serius supaya keamanan di Malaysia dapat dikekalkan dengan semangat toleransi dan harmoni.

 

CATEGORIES
TAGS