Malaysia Dateline

Kes jangkitan baharu kedua tertinggi hari ini, 30 kes pulang dari Sabah

Selepas mencatatkan rekod tertinggi kes Covid-19 semalam, terdapat 293 kes jangkitan baharu virus berbahaya itu direkodkan Kementerian Kesihatan hari ini.

Susulan itu, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 terus meningkat kepada 12,381 kes manakala sebanyak 1,961 kes berstatus aktif dengan kebolehjangkitan.

Daripada angka 293 kes baharu hari ini, 30 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah sekali gus menyaksikan terdapat 206 kes dalam kategori sama sejak 20 September lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, memberitahu kes penularan Covid-19 dalam negara paling tinggi masih lagi dikesan di Sabah dengan 126 kes diikuti Kedah (113 kes) dan Selangor 31 kes.

Beliau turut memaklumkan terdapat dua kluster baharu hari ini telah dikesan iaitu Kluster Kau Sing di Tawau, Sabah dan Kluster Embun di Hulu Langat, Selangor.

Menurutnya, punca jangkitan bagi kedua-dua kluster baharu itu masih dalam siasatan.