Malaysia Dateline

‘Rotan Abah’ entah ke mana kes Covid-19 naik 109%

Setakat semalam, kes positif Covid-19 di negara ini meningkat mendadak mencecah 109 peratus hanya dalam tempoh sebulan.

Pada 20 September lalu, jumlah keseluruhan kes Covid-19 sebanyak 10,219 kes dengan hanya 52 kes baharu manakala semalam sebanyak 21,363 kes direkodkan dengan 862 kes baharu.

Sementara itu, jumlah kes dilaporkan yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September lalu sebanyak 452 kes sehingga semalam.

Peningkatan mendadak kes positif Covid-19 yang mengundang gelombang ketiga penularan jangkitan virus berbahaya itu berkaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini juga berpendapat PRN Sabah dilihat menyumbang kepada penularan kes apabila ada pihak yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Untuk rekod, hari penamaan calon bagi PRN Sabah pada 12 September manakala hari membuang undi 26 September.

Sebelum penamaan calon sehingga sepanjang tempoh berkempen selama 14 hari itu, berlaku pergerakan besar-besaran pemimpin dan petugas politik dari Semenanjung ke Sabah.

Selain Sabah yang merekodkan kes harian tertinggi, Lembah Klang khususnya Selangor dibadai peningkatan kes dan pertambahan kluster baru Covid-19 setiap hari.

Lebih parah ketika Selangor dilanda krisis bekalan air, pola jangkitan Covid-19 dilihat sudah berselerak ke seluruh daerah kecuali Sabak Bernam yang setakat semalam masih dalam zon hijau.

Kes positif Covid-19 semakin mengganas di tempat tumpuan ramai antaranya seperti pusat membeli belah One Utama di Petaling Jaya yang membentuk Kluster Utama, Hentian Kajang (Kluster Hentian) serta tempat kerja termasuk kilang Proton di Shah Alam (Kluster Auto).

Sehingga semalam, Selangor mencatatkan kes harian tertinggi di Semenanjung dengan jumlah keseluruhan 3,489 kes.

Kluster Utama yang menjadi kluster terbesar di Selangor ketika ini sudah mempunyai 194 kes. Kluster Utama yang menjadi kluster terbesar di Selangor ketika ini sudah mempunyai 194 kes diikuti Kluster Auto (62) dan Kluster Hentian 49 kes.

Mereka yang dijangkiti dari Kluster Utama terdiri daripada pekerja keselamatan, pekerja pembersihan, pekerja di beberapa premis pusat membeli-belah itu, pengunjung dan ahli keluarga kepada seorang individu yang terlebih awal dijangkiti.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), satu pertiga pertambahan kes Covid-19 di Selangor berpunca daripada kluster dengan sejarah perjalanan ke Sabah manakala dua pertiga pula adalah dalam kalangan kes dari komuniti.

Pola tersebut mula pihak KKM kenal pasti pada 2 Oktober lalu dan meningkat secara konsisten setiap hari sehingga menyaksikan 32 daripada 87 kluster aktif di seluruh negara ketika ini berlaku di Lembah Klang.

Daripada 32 kluster aktif itu, 13 adalah berkaitan dengan sejarah perjalanan ke Sabah yang telah KKM kategorikan sebagai “kawasan berisiko tinggi”.

Kes dan kluster berkaitan kelompok pulang dari Sabah masih terus dilaporkan walaupun KKM telah melaksanakan saringan Covid-19 kepada semua pengunjung dari Sabah sejak 27 September dan mengeluarkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) sehingga keputusan ujian negatif dimaklumkan.

Kerajaan dilihat lewat mengawal penularan Covid-19 ke Semenanjung apabila hanya mulai 11 Oktober mewajibkan semua pengembara yang tiba dari Sabah menjalani saringan kesihatan Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa dan Domestik.

Pengunjung yang pulang dari kawasan berisiko tinggi itu juga diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh ketibaan, dipakaikan gelang (wristband) dan perlu memantau kesihatan kendiri menggunakan Home Assessment Tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.

Berdalih 

Kegagalan Kabinet Muhyiddin Yassin mengekang rantaian jangkitan Covid-19 ke Semenanjung dilihat ketara jika meneliti siri sidang media harian Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Antaranya, pada 14 September lalu, Ismail berkata, perintah kuarantin wajib selama 14 hari hanya perlu dilaksanakan jika seluruh Sabah diisytihar sebagai zon merah.

Dalam sidang medianya pada 3 Oktober pula, Ismail dilihat beralasan hanya satu peratus atau 132 orang daripada 13,000 individu yang disaring selepas pulang dari Sabah disahkan positif Covid-19 selain berdalih bukan orang politik sahaja dijangkiti Covid-19.

Malah, ketika KKM sudah awal-awal meletakkan Sabah sebagai “kawasan berisiko tinggi”, kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih memandang rendah isyarat gelombang jangkitan virus itu.

Muhyiddin pada 6 Oktober lalu masih sempat berjenaka “Abah ini mula menggunakan rotan” dalam perutusan khasnya dengan penegasan hukuman akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat mana-mana individu yang melanggar undang-undang Perintah Kawalan Pergeakan (PKP).

Sekarang, pemimpin Pas yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, pada 7 Julai lalu masih belum “dirotan”.

Rakyat juga melihat tiada tindakan dikenakan kerajaan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh PKPP termasuk mentahnik bayi kembar yang di Surau An-Nur, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi pada 27 September lalu.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu disahkan positif Covid-19 pada 5 Oktober selepas mengunjungi Sabah pada 24 September dan dibenarkan keluar dari wad di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban pada 14 Oktober lalu.

Zulkifli mentahnik bayi kembar di Bandar Baru Bangi selepas tiga hari pulang dari Sabah yang berisiko tinggi Covid 19