Kes jangkitan HIV akibat seks bebas di Terengganu meningkat

Kes jangkitan HIV akibat seks bebas di Terengganu meningkat

Kes jangkitan HIV akibat risiko seksual atau amalan seks bebas di negeri Terengganu menunjukkan trend peningkatan dan membimbangkan berbanding risiko kongsi jarum suntikan.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Omar berkata pihaknya memandang serius terhadap peningkatan HIV daripada risiko seksual terutamanya homoseksual atau biseksual.

“Sebanyak 33 kes HIV (27.1 peratus) daripada risiko homoseksual/ biseksual dilaporkan pada tahun lepas sahaja berbanding 27 kes (20.1 peratus) bagi tahun 2016, sekali gus menunjukkan kes meningkat.

“Data ini menunjukkan trend peningkatan yang mendadak jika dibandingkan dengan tahun 2010 dengan cuma merekodkan satu kes ( 0.28 peratus), manakala lima tahun sebelum itu iaitu pada tahun 2005 sebanyak tiga kes( 0.62 peratus).

“Fokus kita tahun ini tangani masalah penularan kes HIV yang berpunca daripada risiko seksual. Program kesedaran difokuskan kepada remaja dan golongan muda untuk jalani kehidupan sihat seperti jauhi semua aktiviti berisiko seperti seks luar nikah dan seks luar,” katanya dipetik Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pelepasan Kembara Sihat Tanpa Aids 2018 ‘Eksplorasi Menuju Sifar’ di Waterfront Kuala Berang, di sini, hari ini.

Program anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu itu disertai seramai 290 peserta dengan 76 buah kenderaan dan kembara kali ini berakhir di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang.

Sepanjang laluan ekspolorasi peserta akan turut edarkan risalah HIV/ AIDS kepada masyarakat di tempat-tempat awam bagi tingkatkan kesedaran orang awam berhubung HIV dan Aids.

Tambah beliau, kes jangkitan HIV dalam kalangan pengguna dadah suntikan telah menunjukkan trend penurunan dengan 44 kes (36.4%) dilaporkan tahun lalu berbanding tahun 2015 sebanyak 102 kes (61.8 peratus).

Katanya lagi, sebanyak 292 kes (83 peratus) direkodkan pada tahun 2010 lalu dan penurunan hasil keberkesanan Program Pengurangan Kemudaratan yang telah mula dipekenalkan pada tahun 2006 di Terengganu.

“Program ini melibatkan rawatan methadone serta pertukaran jarum dan alat suntikan oleh penagih. Kita telah dapat lihat impak positif program berkenaan melalui penurunan kes HIV berpunca daripada risiko perkongsian jarum.

“Bagaimanapun, jangkitan kes HIV akibat risiko seksual pula menunjukkan peningkatan dan semua pihak perlu ganding bahu bagi jayakan kempen kesedaran HIV/ AIDS khususnya kepada remaja serta golongan muda,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Dr Mohammad memaklumkan sebanyak 9,816 kes HIV direkodkan di negeri ini sejak kes pertama mula dikesan pada tahun 1988 sehingga Jun tahun ini.

 

CATEGORIES
TAGS