Malaysia Dateline

Kes jual MyKad: Tidak mahu DAP-PH ditohmah, Rayer tarik diri wakili tertuduh

Tidak mahu DAP ditohmah, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menarik diri daripada mewakili salah seorang tertuduh dalam kes perbicaraan penjualan sijil kelahiran serta MyKad sah kepada warga asing.

Anggota Parlimen DAP itu berkata, keputusan tersebut diambil kerana tidak mahu pihak tidak bertanggungjawab membuat tohmahan dan tuduhan tidak berasas terhadap DAP; Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan pemimpin-pemimpin DAP serta PH.

Rayer yang mewakili Datuk Lai Chin Wah, 56, membuat keputusan itu sebelum prosiding hujahan bantahan untuk kes tersebut tidak dipindahkan ke Mahkamah Tinggi bermula di Mahkamah Sesyen, di Pulau Pinang hari ini.

Menurutnya, beliau mewakili Chin Wah sebagai peguambela dalam perbicaraan kes itu pada 18 September lalu selepas dilantik oleh keluarga tertuduh.

Bagaimanapun, katanya, terdapat pihak tertentu termasuk parti politik yang mempersoalkan pelantikannya memandangkan beliau merupakan seorang Ahli Parlimen kerajaan.

“Saya masih berpendirian bahawa tidak ada sebarang konflik kepentingan jika saya terus menjadi peguambela tertuduh dalam kes ini kerana di negara ini, kita mengamalkan sistem ‘separation of powers’ (pemisahan kuasa),” dipetik dari Utusan Online.

Terdahulu, MIC Pulau Pinang mendesak Rayer keluar daripada DAP dan menjadi wakil rakyat Bebas jika mahu terus menjadi peguambela dalam perbicaraan kes tersebut.

Pengerusi MIC negeri, Datuk M. Nyanasegaran dalam sidang akhbar 23 September lalu berkata, Rayer berkemungkinan besar menjadi Ahli Parlimen Kerajaan Persekutuan pertama yang turut mewakili individu yang dituduh oleh Kerajaan Persekutuan di mahkamah.

“Kebimbangan kami adalah kerana perkara ini melibatkan kedudukan moral Rayer sebagai seorang Ahli Parlimen yang mewakili parti pemerintah.

“Di Dewan Rakyat, Rayer mewakili kerajaan yang berjaya menghentikan sindiket penjualan MyKad manakala di mahkamah, Rayer juga mewakili individu yang dituduh menjual MyKad sebagai peguambelanya,” bidasnya.

Pada 12 September lalu, Datuk Lai Chin Wah salah seorang daripada enam individu tertuduh termasuk Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang didakwa atas 32 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta MyKad sah kepada warga asing.