Malaysia Dateline

Kes Kalimah Allah: Nasib baik bukan zaman Mujahid

Hari ini satu lagi sejarah berlaku apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah. Selepas ini kita tak pasti sama ada nanti ada pula yang digelar saki-baki penjajah British, buaya mendongak langit dan burung kasuari menyelam kepala dalam pasir.

Ironinya kes ini mempunyai sejarah yang panjang. Kes bermula tahun 2008 hanya selesai pada tahun 2021. Hakim yang membicarakan kes pun sudah naik pangkat ke Mahkamah Rayuan.

Setakat ini belum ada lagi penghakiman lengkap dikeluarkan oleh Mahkamah. Tetapi rekod yang paling lengkap ada ditulis dalam portal Malaymail (https://www.malaymail.com/…/high-court-quashes…/1956527)

Ada 3 perintah yang dibenarkan iaitu hak Julian Jill di bawah Perkara 3, 8, 11 dan 12 Perlembagaan iaitu

i) haknya untuk mengimport bahan bercetak di bawah kebebasan menganut agama dan haknya untuk belajar;
ii) deklarasi bahawa hak persamaan di bawah Perkara 8 Perlembagaan yang mana semua warganegara perlu dilayan secara saksama dari segi agama
iii) bahawa arahan kerajaan oleh KDN melalui pekeliling 5/12/1986 adalah tidak sah dan tidak berpelembagaan.

Hakim juga antara lain mengatakan penggunaan kalimah Allah itu telah digunakan zaman berzaman oleh penganut agama lain dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan di Malaysia. Kaum kristian di Sabah dan Sarawak juga menggunakan kalimah Allah semenjak 400 tahun dahulu berdasarkan bukti bahan bercetak tahun 1600-an.

Fakta kesnya antara lain, pihak kerajaan telah merampas CD yang mengandungi kalimah Allah yang untuk digunakan secara peribadi sewaktu beliau singgah di lapangan terbang LCCT Sepang sewaktu pulang dari Indonesia. Julian telah menfailkan kes pada 11/5/2008.

Pada Julai 2014, Mahkamah Tinggi telah buat arahan untuk memulangkan CD itu kepadanya tetapi waktu itu CD belum dipulangkan sehinggalah ada keputusan Mahkamah Rayuan pada September 2015. Mahkamah Tinggi juga pada waktu itu tidak membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan undang-undang perlembagaan.

Dalam kes itu juga Mahkamah Rayuan telah menghantar kes ini kembali kepada Mahkamah Tinggi untuk membuat keputusan mengenai isu-isu perlembagaan seperti yang diputuskan pada hari ini. Mahkamah telah mendengar isu-isu perlembagaan itu pada Oktober dan November 2017 dan keputusan kes sepatutnya pada Mac 2018. Namun, kes telah ditangguhkan beberapa kali untuk penyelesaian di luar mahkamah dan masalah PKP.

Takdir Allah, keputusan kes tidak diberikan pada zaman Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menjadi Menteri Agama. Kalau keputusan seperti hari ini dikeluarkan pada zaman Menteri lama rasanya sebelum subuh besok dah berhimpun di Padang Merbok. Maka mengangalah semua buaya buaya dan tenggelamlah kepala burung kasuari semuanya di dalam pasir.