Malaysia Dateline

Kes kanak-kanak kritikal, maut dijangkiti Covid-19 membimbangkan

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan wujud peningkatan kes kritikal dan kematian Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak bawah usia lima tahun.

Dalam tempoh lima bulan pertama ini sahaja, tiga kes kematian Covid-19 melibatkan golongan berkenaan direkodkan.

Tempoh yang lebih singkat itu, kata KKM, berbeza dengan bilangan korban yang sama
telah dilaporkan sepanjang tahun 2020.

Dalam masa sama, kes kanak-kanak yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menunjukkan peningkatan yang ketara.

“Pada tahun 2020, jumlah keseluruhan kes pediatrik yang menerima rawatan di ICU adalah sebanyak lapan kes di mana enam daripadanya berumur bawah 5 tahun.

“Manakala bagi tahun 2021 (sehingga Mei 2021), sebanyak 27 kes memerlukan rawatan di ICU dan 19 kes daripadanya adalah kanak-kanak berumur bawah 5 tahun,” jelas KKM lagi.

Sehubungan itu, KKM menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan sebentar tadi berharap agar semua pihak terutama ibu bapa dan penjaga melindungi golongan kanak-kanak.

Jelas KKM, bayi dan kanak-kanak yang mempunyai imuniti rendah perlu dipelihara agar terhindar dari virus Covid-19.

“Binalah persekitaran yang selamat bagi mereka dengan mematuhi sepenuhnya SOP sedia ada dan segeralah dapatkan vaksin bagi golongan dewasa yang layak,” tambah KKM lagi.