Kes kematian Adib: Ummah mahu jumpa Agong, bawa suara rakyat

Kes kematian Adib: Ummah mahu jumpa Agong, bawa suara rakyat

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) akan mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertuan Agong (YDPA) bagi membawa suara rakyat terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas yang didakwa gagal melaksanakan tanggungjawabnya dalam menegakkan keadilan di negara ini.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai tindakan Tommy yang didakwa tidak berlaku profesional dalam mengendalikan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim

Beliau berkata, pertemuan tersebut akan diadakan dalam jangka masa terdekat dan pihaknya mengambil langkah itu sebagai memberi tekanan kepada kerajaan agar mengambil perhatian terhadap perkara yang disuarakan rakyat.

“Kami sudah menghantar surat bagi menyatakan pandangan rakyat terhadap Peguam Negara itu. Kita akan gunakan pelbagai saluran dan meneruskan tekanan ini.

“Jadi kita berdoa agar pihak kerajaan mengambil iktibar atau pun perhatian terhadap apa yang kita mahu suarakan,” katanya dalam sidang media yang diadakan di pejabat Ummah, di Hulu Kelang, hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, paling penting pada ketika ini adalah supaya rakyat tahu sikap peguam negara itu yang banyak membuat tindakan-tindakan dilihat menyebelahi pihak-pihak tertentu.

“Laporan polis yang dibuat itu jatuh nombor dua. Yang penting kita telah memberitahu rakyat inilah sikap peguam negara dan secara langsung kita tahu ke mana kemudaratan dan silap laku yang dibuat oleh Tommy.

“Memang kalau tindakan tidak ada sekalipun tapi, rakyat telah sedar bahawa hari ini negara telah diketuai oleh seorang yang memang tidak faham isu jenayah ini dan bukan pakar pun dan ini telah menyebabkan senario porak peranda dalam sistem keadilan, mahkamah, dan perguaman yang ada dalam negara,” katanya lagi.

Selasa lalu, bapa anggota bomba Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas bagi memulakan prosiding komital (hina mahkamah) berhubung kes inkuiri anaknya.

Perkara itu dimaklumkan peguam mewakili keluarga, Kamaruzaman A Wahab kepada Koroner Rofiah Mohamad ketika prosiding inkues kematian Muhammad Adib di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Permohonan untuk memulakan prosiding komital itu difailkan Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates di Mahkamah Koroner.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara (IJN).