Malaysia Dateline

Kes kematian akibat Covid-19 di Sarawak naik mendadak

Kes kematian akibat Covid-19 di Sarawak mencatat purata tiga kematian sehari pada Mei ini, menurut Pemangku Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Rosemawati Ariffin.

Katanya, mengikut rekod pada Mei ini purata kes kematian ialah tiga berbanding satu sehari yang dicatat pada Mac lalu.

“Pada Mac, 29 kes kematian direkodkan ialah purata satu kematian sehari berbanding 69 kes kematian pada April dengan dua kematian sehari.

“Bagi Mei setakat semalam , sebanyak 74 kes kematian dilaporkan iaitu purata tiga kematian sehari,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Dr Rosemawati menegaskan, setakat hari ini sebanyak 83 kes lagi masih berada di wad kecemasan (ICU) termasuk 32 kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan dengan kapasiti katil ICU di negeri ini kini berada di paras kritikal.

Beliau turut memberitahu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu, peningkatan kes harian di Sarawak amat ketara yang mana sejak dari 9 Mei sehingga 15 Mei 2021, sejumlah 3,272 kes telah direkodkan.

“Jumlah kes telah meningkat sebanyak 3,642 kes dengan purata 596 sehari pada minggu berikutnya iaitu dari 16 Mei sehingga 22 Mei 2021. Kebanyakan kes positif merupakan kontak rapat yang melibatkan aktiviti ziarah Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Daripada kes terbabit, maka wujud Kluster Taman Sourabaya Indah dan Kluster Jalan Jambatan Gantung di Daerah Kuching.

“Daerah Kabong juga merekodkan peningkatan kes melalui jangkitan semasa kunjungan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar seluruh masyarakat di Sarawak untuk terus berada di rumah sekiranya tiada urusan penting serta dilarang daripada merentas daerah balik kampung bersempena cuti sambutan Hari Gawai Dayak nanti.