Malaysia Dateline

Kes keracunan makanan meningkat sebanyak 23.69 peratus pada tahun lalu

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, kes penyakit bawaan makanan di negara ini menunjukkan peningkatan sebanyak 23.69 peratus pada tahun lalu.

Beliau berkata, peningkatan itu melibatkan dari 401 kes kepada 496 kes keracunan makanan di seluruh negara bagi tempoh sama pada tahun 2017.

“Sehingga Mei tahun ini, sebanyak 213 kes keracunan makanan dilaporkan melibatkan 68 kes di sekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), (26) di sekolah bukan KPM, (19) di institusi, (55) di rumah persendirian dan 45 kejadian di lain-lain tempat.

“Pada tahun lalu, negara telah dikejutkan dengan isu keracunan makanan yang serius sehingga membawa kepada kematian. Antara kejadian keracunan makanan yang berlaku disyaki berpunca dari memakan laksa yang dibeli dari premis di Kupang, Baling, Kedah.

“Disusuli satu lagi kejadian keracunan makanan selepas mengambil minuman beralkohol yang disyaki mengandungi metanol yang turut melibatkan warganegara Bangladesh, India, Myanmar, Nepal dan Indonesia.

“Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius mengenai kejadian kes keracunan makanan seperti ini. Ini menunjukkan soal keselamatan dan kebersihan makanan tidak boleh dipandang ringan.

“Orang ramai juga perlu sentiasa mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan, serta mengamalkan konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang telah rosak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia, di Centre Atrium, eCurve, Mutiara Damansara, semalam.

Dalam pada itu, Dzulkefly menambah berdasarkan rekod Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu daripada sepuluh orang setiap tahun jatuh sakit akibat dari memakan makanan yang tercemar dengan bakteria, virus, parasit atau bahan kimia.

“Seramai 420,000 orang di mana 125,000 daripadanya adalah kanak-kanak di bawah umur lima tahun, mati akibat penyakit pencemaran makanan.

“WHO menganggarkan bahawa terdapat lebih daripada 200 penyakit disebarlan melalui makanan tercemar,” katanya lagi.

Buat julung kalinya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 7 Jun sebagai Hari Keselamatan Makanan Sedunia.

Pada tahun ini, pihak Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan WHO telah memilih tema ‘Food Safety Everyone’s Bussiness’ atau Keselamatan Makanan, Tanggungjawab Setiap Individu dan buah epal dipilih sebagai simbolik kempen.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sebagai pihak yang dipertanggungjawabkan memastikan keselamatan dan kualiti makanan di negara ini akan terus mempergiatkan usaha ke arah tersebut.