Malaysia Dateline

Kes Khalid: Mengambil pengajaran dari sirah Nabi

Ramai pihak memberi pelbagai reaksi terhadap ucapan Khalid Samad di Konvensyen Nasional Amanah baru-baru ini ketika menyebut bahawa Nabi Muhammad juga menghadapi cabaran dan dihalang dari mengerjakan umrah dari Mekah ke Madinah (Perjanjian Hudaibiyah), apabila menerangkan manifesto Pakatan Harapan merupakan janji manusia yang juga mempunyai cabaran dalam memenuhinya.

Ucapan sebenarnya beliau berbunyi seperti berikut:

“Nabi SAW pun dulu pernah bawa sahabat dari Madinah nak ke Mekah, (baginda) berjanji nak buat umrah, tetapi dihalang. Sampai Udaibiyah, tidak dapat (mengerjakannya). Itu Nabi, apalah janji manifesto yang dibuat oleh manusia biasa?”

Sejujurnya kita sebagai manusia biasa, umat Islam, tidak salah mengambil pengajaran dari perjuangan Nabi dari sudut sirah dan sejarah. Mungkin, ramai yang menafsirnya sebagai “nabi tidak menunaikan janji”, walhal, Khalid memberi contoh bahawa dalam kehidupan ini, ada janji yang ditangguh disebabkan masalah tertentu, dan boleh jadi kekangan masa, kewangan, dan sebagainya.

Mungkin apa yang sedih ialah apabila sesetengah pihak hanya menunggu masa untuk mencari isu untuk dipolitikkan, dan memutarkan maksud yang sebenar hingga menimbulkan kekeliruan oleh mereka yang tidak mendengar sendiri ucapan Khalid. Maka, maksud ucapannya itu di ambil di luar konteks sama sekali.

Sehubungan itu, Khalid yang berjiwa besar dengan ikhlas memohon maaf dan ampun kepada Allah dan Rasullullah SAW, jika ucapannya itu disalah tafsirkan sebagai menyandarkan kelemahan Pakatan Harapan kepada peribadi Rasulullah SAW:

PENJELASAN KES “NABI TAK TUNAI JANJI”.

Banyak pihak hari ini telah menegur saya berhubung kenyataan saya mengenai ketidak mampuan PH menunaikan janji manifesto.

Mereka menyatakan bahawa ramai boleh tersalah faham dengan kenyataan itu sehingga menganggap saya ingin menutup kelemahan PH dalam melaksanakan Manifesto PH sepenuhnya dengan menyandarkan kepada Nabi (SAW).

Dalam erti-kata lain seolah-olah Nabi (SAW) sama lemah dengan PH!

Ada juga yang kata saya tuduh Nabi (SAW) mungkir janji!

Saya menerima segala teguran yang dibuat dengan hati terbuka dan terima kasih.

Sebenarnya saya tidak berniat langsung untuk menyandarkan kelemahan PH kepada peribadi Nabi (SAW).

Atau menuduh Nabi mungkir janji. Jika ada yang faham begitu, saya memohon maaf dan memohon ampun kepada Allah dan RasulNya.

Apa yang saya ingin sampaikan adalah manusia hanya mampu berusaha. Namun bukan semua yang diusahakan akan dapat terlaksana dengan sepenuhnya.

Dalam kes manifesto PH kita telah dan akan terus berusaha untuk menunaikan segala yang dijanjikan dalam manifesto itu.

Namun kerana kekangan kewangan sekarang, kita terpaksa tangguhkan pelaksanaan sebahagian darinya sehingga kedudukan kewangan negara pulih semula.

Saya yakin PH tidak ada niat langsung untuk berjanji kosong atau memungkirinya tanpa usaha.

Dalam kes Rasulullah menangguhkan menunaikan umrah pada tahun itu, ia telah Baginda (SAW) lakukan pada tahun seterusnya seperti yang dipersetujui dalam perjanjian Hudaibiyah.

Terima kasih kepada Malaysiakini kerana telah mengubah tajuk beritanya dari tidak menunaikan janji kepada menangguhkan janji.

Terima kasih juga pada semua yang menegur ungkapan-ungkapan saya yang boleh disalah-tafsirkan.

Khalid Samad
Pengarah Komunikasi AMANAH”

Dalam kenyataan maaf tersebut, beliau menyatakan sifat keterbukaan beliau untuk menerima sebarang teguran dengan hati terbuka.

Bukankah itu juga sifat yang dianjurkan dalam Islam; rendah diri, jauh sekali dari sombong, agar kita semua sentiasa ingat dan mengingati, dengan hikmah dan sabar?

Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin, telah menegur secara terbuka dalam laman Facebook beliau sejurus selepas pelbagai pihak mula memberikan reaksi. Namun setelah Khalid mengeluarkan kenyataan maaf, Asri telah memuji Khalid dengan mengatakan beliau ternyata seorang yang “berjiwa besar”, dan menambah bahawa “yang penting, akur, memohon keampunan dan memperbetulkannya”.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga telah memuji Khalid dengan penulisan ikhlas yang bertajuk, “Qalam Mufti #19: Mahalnya Sebuah Kejujuran..Terima Kasih YB HJ. Khalid Samad”

Beliau berkata, Pengakuan YB Hj. Khalid Samad akan kekhilafannya, mencerminkan ciri-ciri pemimpin yang – insyaAllah – mempunyai kepimpinan yang baik. Tidak rugi untuk mengaku terkhilaf kerana fitrah manusia itu sendiri senantiasa melakukan kesilapan. Demikian jua sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Setiap anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan, adalah mereka yang bertaubat.”
(Riwayat al-Tirmizi, no. 2499)

Ternyata, setiap kenyataan yang dibuat boleh ditafsir dengan pelbagai cara tersendiri mengikut kefahaman masing-masing. Namun yang penting, Khalid telah menperjelaskan maksudnya yang sebenar agar salah faham itu tidak berterusan.

Tahniah YB Khalid, kerana menunjukkan contoh dan teladan yang baik dengan sifat mudah meminta maaf.