Malaysia Dateline

Kes langgar basikal lajak: Pendakwa raya vs Sam Ke Ting

Kes langgar basikal lajak: Pendakwa raya Vs Sam Ke Ting. Ada kawan peguam berikan penghakiman ringkas YA Hakim ini. Terima kasih diucapkan kepadanya. Mengikut YA Hakim sebab mengapa keputusan Majistret diakaskan adalah kerana:

Isu sama ada wujud prima facie atau tidak telah pernah diputuskan dalam kes rayuan sebelum itu oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi yang lain. Dalam rayuan itu adalah jelas tertuduh telah dipanggil membela diri.

Tertuduh telah memberikan keterangan secara tidak bersumpah (unsworn statement from the dock). Apabila seseorang tertuduh dipanggil membela diri ada 3 pilihan diberikan, sama ada berdiam diri, memberikan keterangan tanpa bersumpah dan memberikan keterangan secara bersumpah. Keterangan secara tidak bersumpah akan mempunyai nilai lebih rendah daripada keterangan bersumpah kerana keterangan tersebut tidak boleh dicabar melalui soal balas pihak lawan.

Keterangan tidak bersumpah tertuduh itu juga gagal mematahkan kes prima facie apabila tiada keraguan munasabah berjaya diwujudkan. Khasnya tertuduh itu telah memandu laju dalam keadaan berselekoh dan berbukit. Alasan tertuduh tidak tahu wujud aktiviti basikal lajak bukan lah satu pembelaan kerana jika tertuduh memandu dengan berhati-hati maka kejadian tersebut akan berjaya dielakkan.

Kes langgar basikal lajak: Pendakwa raya vs Sam Ke Ting
Peguam Dr Zulqarnain Lukman

Ulasan:

Apabila peguam menjalankan kes jenayah, strategi adalah sangat penting untuk membebaskan anakguam. Dalam kes ini, andaian saya adalah bahawa peguam mengambil pendekatan bahawa kes prima facie itu tidak kuat dan dianggap boleh dipatahkan dengan keterangan tidak bersumpah.

Apakah sebab tertuduh memberikan keterangan tidak bersumpah tidaklah kita ketahui. Tetapi keterangan sebegini tidak cukup untuk melawan keterangan prima facie melainkan pihak pembelaan ada membawa bukti-bukti dan keterangan daripada pihak lain untuk mematahkan keterangan pendakwaan.

Persoalan yang besar adalah Mahkamah membuat dapatan bahawa tertuduh telah memandu secara laju dan melulu. YA Hakim tidak menyebut bukti-bukti ini, mungkin nanti dalam alasan penuh ada disebutkan. Bukti-bukti ini mungkin daripada keterangan polis yang menyiasat, rajah kasar dan lain-lain.

Menurut S. 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pihak pendakwaan perlu buktikan wujud pemanduan melulu atau laju atau merbahaya. Mungkin bagi pihak pembelaan bukti seperti itu tidak wujud dan itulah sebabnya tertuduh ini dibebaskan tanpa membela diri sebelum ini. Tetapi apabila Mahkamah Tinggi memerintahkan supaya membela diri ini bermakna wujud kes prima facie dan Hakim Rayuan yang kedua ini memutuskan bahawa keputusan hakim sebelum itu mengikat beliau. Mungkin cara Hakim ini tidak tepat juga kerana mereka adalah setara dan keputusan hakim itu tidak mengikat hakim yang lain.

Apa pun, kes ini masih dalam perbicaraan apabila tertuduh telah memutuskan untuk memohon kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Rayuan. Jabatan Netizen Malaysia perlu bersabar dan tidak membuat andaian melebihi daripada fakta yang dijelaskan dan dikemukakan kepada Mahkamah.