Kes langgar basikal lajak, sekali peguam ingatkan netizen tidak perlu emosi, Hampir kesemua platform media sosial bercerita tentang kes basikal lajak selepas keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bharu menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM6,000 ke atas seorang kerani wanita, susulan kesalahan memandu secara melulu, hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, lima tahun lalu.
Ekoran itu bermacam-macam andaian yang dibuat para netizen ada yang tidak puas hati hukuman yang dikenakan kepada kerani wanita terbabit dan ada juga yang mahu ibu bapa mangsa basikal lajak diheret ke mahkamah kerana membiarkan anak mereka berada di atas jalan raya pada waktu yang tidak sepatutnya.
Bagaimanapun seorang peguam melalui facebooknya Bicara Peguam tampil menjelaskan keadaan sebenar dan menyifatkan ramai yang terlalu emosi sehingga kelihatan seolah-olah telah hilang kewarasan untuk berfikir secara rasional.
Katanya, kes langgar melibatkan basikal lajak yang meragut lapan nyawa remaja misalnya. Dalam pendakwaan pemandu kereta itu di Mahkamah, isu yang perlu ditentukan oleh Mahkamah ialah samada pemandu itu memandu secara melulu atau merbahaya ketika kemalangan itu berlaku. Samada budak-budak itu sedang melakukan kesalahan ketika kemalangan itu adalah tidak relevan dalam menentukan samada pemandu itu bersalah.
Kesalahan yang berkaitan ialah di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang berbunyi;
Mana-mana orang yang memandu suatu kenderaan motor di jalan dengan melulu atau dengan kelajuan atau dengan cara yang, setelah mengambil perhatian tentang segala hal keadaan (termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan, dan kesesakan lalu lintas yang dijangkakan yang ada atau mungkin ada di jalan itu) merbahaya kepada orang awam, menyebabkan kematian mana-mana orang, melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada lima ribu ringgit dan tidak lebih daripada dua puluh ribu ringgit.
Mahkamah Tinggi, setelah mengambil kira semua fakta telah mendapati pemandu itu bersalah dan memerintahkan pemandu itu dipenjara 6 tahun (hukuman yang diperuntukkan adalah antara 2 hingga 10 tahun, nampaknya Yang Arif Hakim mengambil angka pertengahan) dan denda 6 ribu ringgit (denda yang diperuntukkan ialah antara 5 hingga 20 ribu ringgit). Pemandu yang tidak berpuashati dengan keputusan tersebut telah menggunakan haknya untuk merayu ke Mahkamah Rayuan.
Apa yang tidak masuk akal ialah reaksi netizen, macam-macam dituduh kepada Yang Arif Hakim dan sistem penghakiman di Malaysia.
Netizen juga banyak menumpukan kepada tingkahlaku mangsa-mangsa kemalangan itu. Macam-macam andaian yang pelik-pelik dikemukakan, sementara tidak mengetahui pun fakta sebenar kejadian.
Benar, budak-budak itu tidak sepatutnya berada di tempat itu, lebih-lebih lagi berlumba secara haram. Namun ini tidak bermakna kita boleh menganggap seolah-olah nyawa 8 orang remaja yang terbunuh itu langsung tiada nilai dan sesiapa yang melanggar mereka tidak boleh dipersalahkan sama sekali.
Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, yang relevan ialah cara pemanduan pemandu itu. Sama ada budak-budak itu berlumba haram, merempit atau berjoget atas jalan sekalipun ianya tidak boleh menghalalkan cara pemanduan pemandu itu sekiranya dia memandu secara melulu atau merbahaya.
Tunggu keputusan Mahkamah Rayuan lah. Tak perlu emosi tak tentu pasal.
Baca juga: Sam Ke Ting, tanda pagar #BasikalLajak sohor kini di media sosial
Baca juga: Dikurung dan diseksa, begitulah nasib 16 mangsa penipuan tawaran kerja di Kemboja