Malaysia Dateline

Kes lelaki tumbuk wanita AMANAH: Polis siasat laporan

Polis sedang menyiasat aduan seorang wanita AMANAH yang didakwa dikasari, manakala adik perempuannya ditumbuk seorang lelaki dalam satu mesyuarat parti itu di Teluk Intan, Perak.

Siasatan dibuat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, kata Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner (ACP) Kamarudin Mat Salleh mengesahkan pihaknya telah menerima laporan itu.

“Arahan untuk menyiasat (OTI) telah diperolehi daripada timbalan pendakwa raya,” dipetik Malaysiakini.

Sementara itu, Facebook AWAN Teluk Intan memuatnaik aduan berkaitan insiden tersebut yang berlaku di Hotel Rivertel pada 14 Oktober lalu.

Aduan itu menyebut Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Teluk Intan telah ditolak sehingga jatuh oleh Safarizal Salleh.

“Berlaku pergelutan kecil kerana kami tidak puas hati dengan tindakan Safarizal Salleh yang telah menolak Ketua AWAN Teluk Intan sehingga jatuh.

“Beliau (Safarizal) juga telah menumbuk muka Naib Ketua AMANAH Teluk Intan sehingga menyebabkan kecederaan di muka,” dipetik dari aduan tersebut.

Terdahulu, Ketua AWAN Teluk Intan mendakwa beliau dan adiknya bersama lapan AJK parti kawasan itu dijemput menghadiri satu pertemuan dengan Jawatankuasa Aduan AMANAH Nasional.

Dalam laporan polis yang dibuat, suspek dikatakan merupakan bekas Setiausaha Politik kepada Pengerusi AMANAH Perak, Asmuni Awi.

Dalam hal berkaitan, satu rakaman video berdurasi 13 saat didakwa sebagai bukti seorang anggota AWAN Teluk Intan membuat provokasi sebelum merempuh masuk bilik mesyuarat bagi siasatan kes pendaftaran cawangan palsu.

“Aku paling marah sekali dengan Yati Bidin. Kalau dia berani, dia keluar,” diikuti ketukan kuat di pintu.

Untuk rekod, Yati iaitu Norhayati Bidin merupakan Timbalan Setiausaha Agung AMANAH Nasional.