Malaysia Dateline

Kes Mahiaddin saman Puad akan dibicara Ogos 2023

Kes saman fitnah yang difailkan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin terhadap Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi akan dibicarakan 14 Ogos 2023, lapor Bernama.

Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan tempoh lima hari bermula dari tarikh tersebut untuk membicarakan kes saman tersebut selepas Puad didakwa mengeluarkan berbaur fitnah di laman Facebook berkaitan perintah kuarantin membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Memetik Bernama, Peguam, Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Mohd Puad selaku defendan ketika dihubungi berkata, tarikh perbicaraan kes saman itu ditetapkan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz ketika pengurusan kes secara dalam talian hari ini.

“Mahkamah juga menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 24 Mei 2022 yang akan berlangsung secara dalam talian,” katanya yang turut memaklumkan prosiding hari ini disertai peguam, Hayden Tan Chee Khoon mewakili Muhyiddin dan Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang bertindak bagi pihak Mohd Puad.

Menerusi writ saman yang difailkan dalam kapasiti peribadi, mahiaddin mendakwa pada 8 Februari lalu, Mohd Puad telah menerbitkan satu hantaran di laman Facebook di bawah nama ‘DrPuad Zarkashi’ dengan tajuk ‘Kuarantin pun ada dua darjat?’.

Beliau mendakwa hantaran itu boleh diakses oleh pengguna internet di seluruh dunia dan telah menerima 1,200 reaksi, 215 komen dan 182 perkongsian.

Katanya, hantaran itu merujuk kepada ‘PM’ yang merupakan singkatan kepada Perdana Menteri dan mengandungi kenyataan tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan jahat serta memfitnah beliau.

Mahiaddin mendakwa kenyataan itu membawa maksud bahawa beliau dan rombongannya enggan menjalani kuarantin selama 10 hari selepas mereka pulang dari lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia.