Malaysia Dateline

Kes mencanak di Selangor berpunca dari saringan menyeluruh di kawasan PKPD

Peningkatan kes positif Covid-19 di Selangor yang mencatatkan lebih separuh dari kes harian semalam disebabkan ujian saringan menyeluruh yang dilaksanakan di negeri itu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amiruddin Shari berkata, saringan menyeluruh yang dilakukan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menyumbang kepada keseluruhan berjumlah 1,346 kes selain saringan kontak rapat dari kes positif di PKPD.

Beliau juga memaklumkan telah mengesyorkan beberapa cadangan untuk dipertimbang dan dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

“Pertama, mengekalkan penutupan sektor ekonomi dan industri yang telah ditetapkan sehingga tamat pelaksanaan PKPD.

“Kerajaan Negeri mencadangkan agar hanya sektor ekonomi yang benar-benar perlu sahaja dibuka bagi pertimbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam satu hantaran Facebooknya semalam.

Amiruddin berkata, kerajaan negeri mendapati bahawa matlamat pelaksanaan PKPD bagi memutuskan rantaian wabak serta mengurangkan beban kepada sistem kesihatan negara masih belum lagi dicapai.

Justeru, kerajaan negeri turut mencadangkan agar vaksinasi pekerja dipercepatkan dan kadar vaksinasi ditentukan sebagai antara faktor pembukaan sektor ekonomi.