Malaysia Dateline

Kes Mujahid saman Asyraf Wajdi ditangguh

Kes saman fitnah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof ke atas Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki ditangguhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta hari ini bagi membolehkan kedua-dua pihak melengkap dan mengemaskini dokumen.

Menurut peguam yang mewakili Mujahid, Noorazmir Zakaria, kes yang didengar di hadapan Hakim Dato’ Sri Latifah Mohd Tahar itu ditetapkan untuk dipanggil semula pada 5/5/2020.

“Mahkamah menangguhkan ke tarikh baharu sementara semua dokumen yang perlu untuk perbicaraan disediakan, ia tidak bermaksud ia tidak berjalan” kata beliau ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Tindakan perundangan terhadap Asyraf dibuat oleh pihak Dr Mujahid ekoran dakwaan anggota parlimen Parit Buntar itu menjual aset-aset strategik Lembaga Tabung Haji serta beberapa tuduhan lain oleh Ketua Pemuda Umno itu.

Sebelum itu Mujahid menolak cabaran debat yang buat oleh Asyraf atas alasan segala keputusan perniagaan Tabung Haji adalah dibuat oleh pengurusan professional Tabung Haji berdasarkan pertimbangan professional dan pengalaman mereka.

Kenyataan ini di sokong oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Nik Hasyudeen Nik Yusof yang mengatakan penjualan aset adalah hanya terhadap aset yang tidak mendatangkan keuntungan sewajarnya sahaja dan hasil penjualan itu akan digunakan bagi maksud membeli aset baru yang lebih menguntungkan Tabung Haji. Kepentingan Tabung Haji di dalam TNB tidak pernah dijual.

Dr Mujahid diwakili peguam Noorazmir Zakaria manakala Asyraf diwakili peguam Wan Hafiz Wan Zawawi.