Malaysia Dateline

Kes Mujahid saman Harakah isu Sajat bertelekung selesai secara mediasi

Kes saman fitnah difailkan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof terhadap Harakah berhubung isu usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Sajat, yang didakwa memakai telekung dan berpakaian seperti wanita ketika menunaikan umrah, selesai secara baik (proses mediasi).

Hal tersebut dimaklumkan peguam, Noorazmir Zakaria, yang mewakili Mujahid, lapor Bernama, selepas prosiding secara dalam talian (Zoom) di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan hari ini.

“Mahkamah hari ini merekodkan penghakiman persetujuan kedua-dua belah pihak untuk kes diselesaikan.

“Antara penyelesaian kes itu ialah defendan pertama (wartawan Harakah Aziz Muda) akan mengemukakan permohonan maaf secara bertulis kepada Datuk Seri Mujahid di akhbar Harakah, dan menarik balik artikelnya bertajuk ‘Sajat: Mujahid dan K’jaan PH patut dipersalahkan dan ‘Keterlanjuran Sajat kesilapan Mujahid dan kerajaan PH,” kata peguam itu.

Walau bagaimanapun, Noorazmir berkata, terma-terma penyelesaian lain yang terkandung di dalam penghakiman persetujuan itu tidak dapat didedahkan.

Perbicaraan kes itu ditetapkan pada 30 Ogos lalu tetapi sebelum prosiding bermula mahkamah menyarankan supaya kes saman tersebut diselesaikan secara baik menerusi proses mediasi.

Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang memfailkan saman pada 12 Ogos tahun lalu, menamakan Aziz, Ketua Pengarang Harakah Wan Nordin Wan Yaacob, penerbit laman sesawang Harakahdaily serta akhbar Harakah iaitu Galeri Media Serbanika Sdn Bhd dan pencetak akhbar itu Percetakan Turbo (M) Sdn Bhd sebagai defendan.

Dalam penyataan tuntutannya, Mujahid mendakwa pada 7 Februari tahun lalu, Aziz, Wan Nordin dan Galeri Media telah menulis dan menerbitkan kenyataan memfitnah terhadapnya di Harakahdaily menerusi artikel bertajuk ‘Sajat: Mujahid dan K’jaan PH patut dipersalahkan’ serta menerbitkan satu lagi kenyataan yang memfitnah beliau dalam akhbar Harakah bertarikh 10 hingga 13 Februari menerusi artikel ‘Keterlanjuran Sajat kesilapan Mujahid dan kerajaan PH’.

Mujahid selaku plaintif mendakwa kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang yang tidak bertanggungjawab apabila membenarkan masyarakat, khususnya yang beragama Islam, terlibat dalam aktiviti ‘Lesbian Gay Bisexual Transeksual (LGBT)’ selain didakwa menjadi punca kepada tindakan Sajat memakai telekung serta berpakaian seperti wanita, sewaktu menunaikan umrah.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu juga mendakwa kenyataan fitnah tersebut telah menjatuhkan maruah, kredibiliti serta reputasinya selaku menteri yang menjaga hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri, dan akibat daripada penyebaran kata-kata fitnah tersebut, beliau mengalami tekanan serta berasa malu untuk berhadapan dengan masyarakat.

Sementara itu, kesemua defendan menerusi penyataan pembelaan difailkan pada 28 September tahun lalu berkata, Mujahid seharusnya berani bertanggungjawab berhubung kenyataan yang dikeluarkan beliau, dan sepatutnya tidak tersinggung dengan kritikan yang dilontarkan masyarakat terutama pengamal media berhubung isu tersebut.