Malaysia Dateline

Kes naik semula seluruh dunia melibatkan umur bawah 25 tahun

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan peningkatan semula jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia melibatkan mereka yang berumur di bawah 25 tahun dilaporkan sejak awal Julai, khususnya di Eropah dan Pasifik Barat.

Ini kemungkinan disebabkan individu lebih tua lebih cenderung diberi vaksin, atau golongan muda lebih cenderung bergaul secara sosial.

Kemungkinan virus juga menular di sekolah berikutan lebih ramai golongan muda kembali menjalani pembelajaran secara bersemuka.

Menurut WHO, pihaknya memiliki data 123 juta kes COVID-19 dengan 51 peratus adalah wanita.

Bagaimanapun lelaki menyumbang 58 peratus daripada kes kematian.

WHO berkata dalam kalangan mereka yang berumur lebih 65 tahun, kadar kematian menurun sejak September 2020.

Ini berkemungkinan disebabkan lebih ramai individu dalam kumpulan umur itu diberi vaksin selain penambahbaikan penjagaan klinikal.

Setakat ini 47 peratus penduduk dunia menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

WHO sedang menjejaki dengan teliti subvarian Delta bagi menentukan sama ada ia lebih mudah berjangkit berbanding strain asal berikutan peningkatan semula kes Covid-19 di seluruh dunia.

WHO turut mengkaji sama ada manusia lebih tahan terhadap subvarian dikenali AY.4.2, yang dikesan di sekurang-kurangnya 42 negara.

“Peningkatan dalam urutan AY.4.2 diperhatikan sejak Julai lalu,” menurut WHO dalam kemas kini epidemiologi mingguannya.

“Kajian epidemiologi dan makmal sedang dijalankan untuk melihat sama ada terdapat perubahan dalam penularan varian atau penurunan keupayaan antibodi manusia untuk menyekat virus itu,” kata WHO dipetik Bharian.

Subvarian itu menyumbang kira-kira 5.9 peratus daripada semua kes Delta yang dilaporkan di Britain dalam tempoh seminggu bermula 3 Oktober