Malaysia Dateline

Kes Najib, apa kata hakim dalam penghakimannya

SIRI I

1. Secara mudahnya dalam kes yang mana Mahkamah putuskan YB Pekan bersalah, ianya berkisar kepada isu di mana wang sejumlah RM 42 juta telah dimasukkan ke dalam akaun perbadi YB Pekan.

2. Dalam keputusannya, Y.A Hakim yang bijaksana (” hakim”) telah mulakan dengan membincangkan pembelaan YB Pekan. Kata hakim , YB Pekan dalam pembelaannya berkaitan tuduhan di bawah seksyen 23 Akta SPRM 2009 (” Akta SPRM”) berkaitan menggunakan jawatan untuk “gratification”, bahawa beliau telah bertindak atas kepentingan negara (had acted in national interest ).

3. Kata Hakim, pihak pembela (defence) berhujah bahawa pembelaan YB Pekan itu selaras dengan kenyataan mantan Peguam Negara (Saksi Pembela/Defence Witness (DW) iaitu DW 14) dalam kenyataan akhbarnya yang melepaskan (cleared) YB Pekan atas tuduhan rasuah.

4. Hakim menolak pembelaan tersebut. Kata hakim tidak boleh dikatakan kenyataan akhbar DW14 itu hatta keterangan seorang lagi saksi pembela iaitu DW17 (saya tak pasti siapa tapi berkemungkinan mantan KP SPRM ) yang kata hakim saksi itu memainkan peranan membantu DW 14 dalam mengkaji semula Kertas Siastan (IP), telah membantu pembelaan YB Pekan dalam menyangkal kes pendakwaan dan mewujudkan keraguan.

5. Hakim beri sebab dan alasan. Kata hakim, kedua-dua saksi tersebut- DW14 dan DW17- telah mengaku dalam keterangan mereka semasa disoal balas (cross examined) yang mereka berdua tidak sedar adanya siasatan lanjut yang dibuat oleh SPRM selepas 26/1/2016 iaitu hari di mana keputusan “NFA-No Further Action” ke atas kertas siasatan/IP dibuat di mana SPRM telah mengambil kenyataan dari 76 orang saksi baru dan juga mengambil kenyataan dari saksi-saksi yang sedia ada.

6. Hakim juga kata kedua-dua saksi itu -DW14 dan DW 17- juga tidak sedar keterangan dalam bentuk pengakuan terhadap pengetahuan yang terkandung dalam afidavit YB Pekan dalam kes saman sivil fitnah (evidence of admission of knowledge contained in an affidavit affirmed by the accused in the defamation suit ).

7. Oleh itu, kata hakim, di bawah pertuduhan di bawah seksyen 23 (1) Akta SPRM terdapat manfaat dari keterangan susulan yang tidak disediakan (not available) semasa pengumuman kepada NFA dilakukan oleh mantan AG (DW 14).

8. Hakim juga kata, pendapat DW14 dan DW17 juga tidak boleh menggantikan keterangan di dalam mahkamah bagi membantu mahkamah mencapai keputusan.

Bersambung esok insyaAllah.