Malaysia Dateline

Kes Najib: Kemenangan untuk PH, kata penganalisis

Penganalisis politiik menyifatkan pihak yang menang ekoran keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Datuk Seri Najib Razak adalah Pakatan Harapan (PH).

Menurut pensyarah kanan UiTM, Mujibul Abdul Muis, keputusan ini akan digunakan sepenuhnya oleh PH terutama dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang yang dikatakan tidak lama lagi itu.

“Inilah modal PH. Secara asasnya ini satu kemenangan kepada PH apabila selama ini mereka laungkan bahawa Najib terlibat dalam 1MDB. Dan ia dibuktikan ketika PH bukan lagi parti yang memerintah,” kata Mujibul.

Mujibul mengulas keputusan Mahkamah Tinggi hari yang memutuskan Najib bersalah ke atas kesemua tujuh dakwaan yang dikenakan ke atas beliau berkaitan penyelewengan wang RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Bagi beliau, keputusan hari ini amat mengejutkan banyak pihak.

Selain pertembungan yang akan semakin tajam antara dua kumpulan dalam Umno,  Pas juga bakal diserang ekoran keputusan hari ini.

“Pas akan diserang. Orang akan bertanya apakah alasan mereka kali ini  bersekongkol dengan Najib selepas Najib didapati bersalah,” kata Mujibul dalam temubual beliau dengan Astro Awani.

Mujibul menjangka hubungan antara dua kumpulan dalam Umno akan semakin tajam ekoran keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

Beliau berkata, hubungan dua kumpulan itu iaitu penyokong Perikatan Nasional (PN) dan penyokong agar Umno bersendiri atau bersama Pas sahaja melalui Muafakat Nasional (MN) menghadapi pilihan raya umum akan menjadi lebih tajam.

“Hala tuju PN dan MN akan terkesan dengan keputusan kes ini. Ia akan tajamkan lagi perpecahan dalam Umno. 2 kumpulan dalam Umno, yang sokong PN dan yang mahu Umno pergi sendiri dalam pilihan raya,” kata Mujibur.

Beliau yakin, keputusan ini akan diulas secara berpanjangan dalam politik Malaysia.

“Ini akan diperpanjangkan. Kalau lihat penyokong Najib yang datang ke mahkamah hari ini, ia tunjukkan dia popular. Ia sangat siginifikan dalam Umno. Apakah Umno akan terus gunakan populariti Najib,” katanya.

Katanya, Bersatu memang dominan dalam kerajaan Pakatan Nasional (PN) tetapi Umno mempunyai jumlah ahli Parlimen yang besar dalam kerajaan itu.