Polis Kuala Lumpur menegaskan sebarang aktiviti ziarah raya mahupun pergerakan merentas negeri dan daerah sama sekali tidak dibenarkan.
Ketuanya, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, bagaimanapun pergerakan di dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah dibenarkan namun aktiviti ziarah raya tetap tidak dibenarkan untuk mana-mana individu sekali pun.
“Sebagaimana yang telah diputuskan oleh kerajaan, sebarang aktiviti ziarah raya adalah tidak dibenarkan.
“Pergerakan merentas sempadan negeri dan daerah juga tidak dibenarkan melainkan dengan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Manakala, pergerakan di dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah dibenarkan namun aktiviti ziarah raya tetap tidak dibenarkan untuk mana-mana individu sekali pun,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas kenyataan Ketua Polis Daerah Brickfields, Anuar Omar pada 18 Mei menimbulkan kekeliruan dan kemarahan orang ramai kerana menganggap pihak berkuasa membenarkan ziarah raya pada syawal pertama.
Anuar dalam kenyataannya berkata, pergerakan di dalam kawasan Kuala Lumpur dibenarkan dan ianya dikira sebagai satu kawasan jangkitan, namun dia tidak menyatakan secara terperinci sama ada ziarah raya dibenarkan atau tidak.
Sementara itu, Azmi memaklumkan bahawa pihak polis telah melengkapkan kertas siasatan selebriti tempatan, Noor Neelofa Mohd Noor kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
“Merujuk kepada satu video tular membabitkan seorang selebriti yang didakwa menyambut 1 Syawal bersama-sama keluarganya, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields telah membuka kertas siasatan di bawah Peraturan 17 P. U. (A) 225/21 bagi siasatan dakwaan ziarah raya yang dilakukan oleh ahli keluarga tersebut.
“Kertas siasatan telah lengkap dan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat,” katanya lagi.