Malaysia Dateline

Kes nikah di Thailand meningkat 15 peratus

Kes pernikahan di Thailand tanpa kebenaran yang membabitkan pasangan dari daerah Kota Setar kini secara puratanya meningkat 15 peratus sebulan, selepas dua tahun berlaku pandemik COVID-19.

Pegawai Agama Daerah Kota Setar Datuk Syeikh Ahmad Faisol Omar berkata kebanyakan pernikahan itu melibatkan individu bujang dan berpoligami tanpa kebenaran.

“Terdapat lima hingga enam peratus yang bernikah di Thailand ini didapati tidak sah dalam pengesahan pernikahan mereka… tak sah sebab (antaranya) wali hakim yang tak bertauliah atau kahwin dengan isteri orang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Pelancaran Menuai Padi Musim 1/2023 Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SSBA) Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi LZNK Datuk Norizan Khazali.

Ahmad Faisol berkata terdapat juga kes pernikahan tanpa kebenaran di negara jiran itu melibatkan wanita yang masih dalam tempoh edah.

Sementara itu, beliau meminta mana-mana pasangan yang bernikah di Thailand segera mendaftarkan pernikahan mereka sekali gus disahkan di negara ini bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih rumit pada masa hadapan.

“Hukuman bagi setiap kesalahan (bernikah luar tanpa kebenaran) adalah denda RM1,000 melainkan yang berpoligami tanpa kebenaran akan didenda RM3,000,” katanya.

Ahmad Faisol menasihati mana-mana pihak supaya tidak membelakangkan ibu bapa atau bagi suami membelakangkan isteri pertama dengan berkahwin di negara jiran, demi kesejahteraan bersama.

— BERNAMA

Baca juga : Cukuplah 9 tahun bergelar isteri, Puteri Sarah anggap sudah tiada rezeki bersama