Malaysia Dateline

Kes pegawai kanan tumbuk anggota tentera darat disiasat

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, dakwaan seorang pegawai kanan Tentera Darat menumbuk anggota bawahan yang ditularkan menerusi media sosial sedang disiasat.

Beliau berkata siasatan juga dijalankan secara bebas dan adil.

“Selaku Menteri Pertahanan, saya mengambil maklum. Pihak Tentera Darat sedang melakukan siasatan segera dan akan mengeluarkan laporan terperinci mengenai kejadian tersebut.

“Saya memberi jaminan bahawa siasatan ini akan dijalankan secara bebas dan adil serta tiada sebarang ‘cover up’ dilakukan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad juga meminta semua pihak bersabar serta berhenti membuat dakwaan demi menjaga nama baik Tentera Darat dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kelamrin, rakaman video berdurasi seminit 10 saat yang tular di laman sosial menunjukkan seorang lelaki dipercayai pegawai kanan berpakaian preman menumbuk anggota yang lengkap bersenjata sedang mengawal pintu masuk kem tentera.

Bagaimanapun, anggota itu dilihat tidak melawan dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Kem Tentera Sungai Udang, Melaka.