Malaysia Dateline

Kes pengubahan wang haram, elak cukai: Perbicaraan Rosmah bermula 12 Januari

Kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai Datin Seri Rosmah Mansor akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes rasuahnya berkaitan projek tenaga solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan hari ini menolak permohonan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu supaya beliau menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan cukai yang dihadapinya.

Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula pada 12 Januari 2022, lapor Bernama.

Hakim Mohamed Zaini berkata, beliau akan memastikan Rosmah tidak akan diprejudis dalam kes pengubahan wang haram apabila rujukan dibuat kepada kenyataan dalam kes rasuah projek solar kerana hakim dikehendaki mempertimbangkan secara berasingan dan secara bebas keterangan terhadap tertuduh.

“Sebarang dapatan yang saya buat dalam kes solar kekal di sana. Lagipun adalah menjadi tanggungjawab saya atau mana-mana hakim, untuk memastikan tertuduh atau mana-mana tertuduh, dibicarakan secara adil seperti yang termaktub mengikut Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini juga memetik keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Pendakwa Raya lawan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang memutuskan bahawa seorang hakim, tidak seperti juri, dilatih dalam undang-undang untuk tidak berat sebelah.

Hakim berkata, dakwaan Rosmah, 70, mungkin berlaku prejudis kerana beliau (Hakim Mohamed Zaini) akan membuat perbandingan antara kenyataan dan pembelaannya dalam kes ini, adalah tidak berasas.

“Dalam kes solar, apabila membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menerima kenyataan bagi mencabar tertuduh, saya memutuskan bahawa tiada soalan perlu ditanya berkaitan fakta kes pengubahan wang haram di sini.

“Semasa membuat keputusan itu, saya memutuskan bahawa nilai probatif bagi isu-isu yang ingin dikemukakan oleh pihak pendakwaan tidak melebihi kesan prejudis yang mungkin dialami oleh tertuduh.

“Dalam apa jua keadaan, peguam responden (Rosmah) semasa membuat penghujahan, meyakinkan saya bahawa isu yang ingin dikemukakan oleh pihak pendakwaan berhubung kenyataan dalam kes solar tidak mempunyai kaitan dengan isu dalam kes ini,” dipetik Bernama lagi.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.