Malaysia Dateline

Kes pertama positif varian Omicron dikesan di Malaysia

Varian Omicron yang dikatakan lebih ganas berbanding varian lain kini dikesan di negara ini melalui seorang pelajar bukan warganegara berusia 19 tahun.

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, pegembara terbabit tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November 2021 dan telah menjalani ujian RT-PCR COVID-19 setibanya di pintu masuk utama KLIA.

Beliau merupakan seorang pelajar di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak.

“Kes telah diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh.

“Perjalanan kes dari KLIA ke Ipoh adalah menggunakan bas yang disediakan khas oleh pihak universiti.

“Kes menjalani kuarantin seorang diri di penginapan tersebut dan berdasarkan siasatan yang dijalankan, beliau patuh kepada perintah yang dikeluarkan.

“Kes juga telah menerima vaksinasi lengkap dan tidak bergejala,” jelas Khairy dalam kenyataan.

Institut Penyelidikan Perubatan (Institute for Medical Research – IMR) telah mengesahkan sampel ujian saringan tersebut positif COVID-19 dengan CT Value 26.68 pada 20 November 2021.

Kes meneruskan pengasingan di rumah yang sama selama 10 hari dan diberi pelepasan pada 29 November 2021.

Pengesanan kontak rapat telah dijalankan ke atas semua penumpang bas dan pemandu iaitu seramai lima (5) orang.

Mereka telah menjalani saringan ujian COVID-19 dan kuarantin wajib. Ujian sampel pertama dan kedua ke atas semua kontak rapat disahkan negatif.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan melalui tindakan pencegahan dan kawalan jangkitan penyakit COVID-19 di semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dan survelan makmal yang dilaksanakan secara berterusan, kes pertama positif varian yang dibimbangi (variant of concern – VOC) Omicron telah dikesan di Malaysia.

Sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan varian yang dibimbangi (variant of concern – VOC) Omicron pada 24 November 2021, IMR mula menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas semua sampel positif yang disaring di pintu masuk antarabangsa (PMA) KLIA sebagai inisiatif tambahan kepada kajian berterusan jujukan genom penuh (whole genome sequencing – WGS).

Sehubungan itu, IMR telah menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 74 sampel positif COVID-19 yang dikesan di KLIA dari tempoh 11 November 2021 hingga 28 November 2021.

Ujian PCR Genotyping Assay dijalankan bagi mendapatkan keputusan awal jenis varian.

Hasil daripada ujian PCR Genotyping Assay, satu daripada sampel telah dikesan berkemungkinan besar adalah VOC Omicron.

Jujukan genom seterusnya dilaksanakan mendapati keputusan positif bagi varian Omicron pada 2 Disember 2021.