Malaysia Dateline

Kes positif COVID-19 catat tiga angka lagi

Kes positif COVID-19 hari ini sekali lagi mencatatkan tiga angka iaitu 111 kes baharu yang telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,687 kes.

Peningkatan kes baharu ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 858 kes, demikian menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, 111 kes baharu yang dilaporkan termasuk empat kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan bukan warganegara dari negara Indonesia (2 kes), India (1 kes), dan Singapura (1 kes).

Katanya, di Sabah mencatat jumlah yang paling banyak iaitu 97 kes melibatkan 74 kes daripada Kluster Bangau-Bangau, 13 kes daripada Kluster Benteng LD, dua kes daripada Kluster Laut, kes saringan rujukan ke hospital, kes saringan di tempat kerja, dan kes saringan bergejala.

“Dan satu kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Tawau dan satu kes saringan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA),” kata beliau.

Tambahnya, di Kedah mencatat lapan kes membabitkan tujuh kes daripada Kluster Sungai dan satu kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Sultanah Bahiyah

“Pahang, satu iaitu satu kes saringan bergejala yang melibatkan warganegara, kes mempunyai sejarah pulang dari Semporna, Sabah bagitu juga di Selangor iaitu satu kes membabitkan kes saringan bergejala yang melibatkan warganegara yang mempunyai sejarah pulang dari Kota Kinabalu, Sabah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan terdapat empat kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Sukacita dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID- 19 dilaporkan pada hari ini.
“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 133 kes,” katanya.