Malaysia Dateline

Kes positif Covid-19 kembali meningkat di Sarawak

Sarawak kembali mencatat peningkatan dalam kes baharu positif COVID-19 semalam.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, lima belas lagi kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak sebanyak 288 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac 2020 direkodkan semalam.

Jelas kenyataan itu, 14 kes dirawat di Hospital Umum Sarawak dan satu kes pula dirawat di Hospital Miri.

“Semalam, sebanyak 92 kes baharu orang disyaki (PUI) dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,797 kes. Daripada jumlah itu, 1,409 kes adalah negatif dan 100 kes PUI masih menunggu keputusan makmal.

“Manakala bagi kes orang disyaki di Daerah Kuching, sebanyak 41 kes telah disaring yang mana lapan kes telah disaring di Kompleks Belia dan Sukan dan 33 kes disaring di Hospital Umum Sarawak,”ujar kenyataan itu di Kuching.

Pada masa sama, kenyataan itu menjelaskan, sehingga semalam pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini adalah sebanyak 96.3%.

“Pihak Polis telah menangkap 35 orang di Sarawak kerana melanggar PKP dan 51 orang telah dituduh di Mahkamah. Manakala seramai 12 orang telah dipenjara dan 29 orang telah didenda.

“Sehubungan itu, semua agensi-agensi yang terlibat dengan operasi PKP terus melaksanakan kawalan dan pemantauan di negeri Sarawak bagi mengekang penyebaran Covid-19,” tambah kenyataan itu.