Malaysia Dateline

Kes pulih harian Covid-19 tertinggi, lagi 2,295 jangkitan baharu hari ini

Sebanyak 3,321 kes pulih daripada Covid-19 hari ini sekali gus menjadi jumlah sembuh harian tertinggi sejak pandemik itu melanda negara.

Angka itu menjadikan 94,492 kes (80.5 peratus) daripada keseluruhan jumlah jangkitan yang direkodkan, sudah sembuh setakat jam 12 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, angka harian jangkitan Covid-19 terus mencatat empat digit dengan 2,295 kes baharu direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif mencecah 117,373 dengan 22,398 kes aktif.

“Ia meliputi sembilan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala 2,286 lagi penularan dalam negara.

“Selangor menyumbang angka harian jangkitan baharu yang tertinggi dengan 638 kes (27.8 peratus).

“Daripada jumlah itu, 496 kes baharu (77.7 peratus) adalah daripada kluster dan hasil saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti Johor dengan 580 kes (25.3 peratus) dan Pulau Pinang yang melaporkan 288 jangkitan (12.5 peratus),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam masa sama, pandemik Covid-19 meragut sembilan lagi nyawa, menjadikan angka keseluruhan kematian berjumlah 483 kes (0.41 peratus) di negara ini.

Lima kematian baharu hari ini dicatatkan di hospital sekitar Lembah Klang, selain masing-masing satu di Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Kelantan.

Daripada sembilan kes kematian hari ini, lapan daripadanya membabitkan warga emas berusia 65 hingga 82 tahun dengan masing-masing mempunyai latar penyakit kritikal.

Hanya satu kes kematian melibatkan wanita berusia 41 tahun yang meninggal di Hospital Sungai Buloh dengan latar penyakit kencing manis dan obesiti.