Malaysia Dateline

Rosmah Mansor

Kes rasuah: Rosmah, Ku Nan, Rizal, Tan bayar wang jamin

Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor yang didakwa atas tuduhan rasuah hari ini membayar separuh wang jaminan daripada jumlah RM1 juta.

Hasil semakan di kaunter bayaran jamin di bangunan Kompleks Mahkamah di sini, mendapati  Rosmah dan Rizal masing-masing membayar RM500,000 dengan ditemani keluarga dan peguam kira-kira 4.30 petang.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan baki jumlah jaminan diselesaikan dalam tempoh tujuh hari bagi Rosmah manakala Rizal perlu menjelaskan selewat-lewatnya pada 22 Nov.

Gelagat Rosmah mendapat perhatian media apabila beramah mesra dengan seorang daripada kakitangan bank yang hamil dan dia juga mengusap perut wanita itu, selepas  selesai membayar wang jaminan.

Rosmah bertanya sama ada bayi yang dikandung wanita itu perempuan dan wanita itu berkata “Insya-Allah perempuan” dan Rosmah sambil berseloroh berkata  “ikut muka (anak) macam saya ya,”  yang kemudiannya disambut dengan  gelak ketawa daripada orang awam.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga membayar wang jaminan RM1 juta sekali gus.

Turut mendapat perhatian media, ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon yang didakwa atas pertuduhan memberi rasuah selepas kehadirannya gagal dirakam, namun kira-kira 5 petang, beliau muncul di kaunter bayaran jamin dengan barisan peguamnya.

Tan  juga membayar wang jaminan RM700,000 sekali gus.

— BERNAMA