Malaysia Dateline

Kes rasuah: Zizie Izette mahu semakan didengar bersama Bung Moktar

Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad akan memohon di Mahkamah Tinggi supaya semakan berkaitan kes rasuahnya didengar bersama permohonan sama yang dikemukakan suaminya, Datuk Seri Bung Moktar Radin Bung Moktar.

Pelakon berkenaan sebelum ini memfailkan notis usul untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September lalu yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tuduhan rasuah berkaitan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan peguam M Athimulan yang mewakili Zizie Izette supaya notis usul terbabit dipindahkan ke hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid.

Lapor BH Online, mengikut permohonan asal, notis usul semakan Bung Moktar akan didengar pada 17 Oktober ini manakala kes Zizie Izette pula sepatutnya didengar di hadapan Sequerah.

Menurut Athimulan ketika ditemui pemberita selepas prosiding, pihaknya akan memfailkan permohonan pada Selasa ini supaya kedua-dua notis usul itu didengar bersama.

Bung Moktar pada 3 Mei 2019 didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno itu juga, didakwa menerima suapan RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette,manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya.

Baca juga Bukan tak mahu sokong lokal, tapi jenama tempatan mahal tak bertempat

Baca juga Wah! Kagum dengan adik ini, kecil-kecil dah pandai makan petai