Malaysia Dateline

Kes RM42 juta dana SRC: Najib bersalah atas 1 pertuduhan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman bersalah terhadap bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak berhubung satu pertuduhan menyalahguna kuasa dana RM42 juta dari SRC International.‬

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati pasukan pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pasukan pendakwaan bagi tuduhan salah guna kuasa.

Pada masa ini hakim sedang membacakan penghakiman ke atas baki enam pertuduhan.

Najib, 67, berdepan masing-masing tiga dakwaan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa pada 4 Julai 2018 atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018 pula, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama.

Suami kepada Datin Seri Rosmah Mansor itu didakwa melakukan kesalahan terbabit antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Terdahulu, Najib yang memakai sut coklat dan berkemeja putih tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, jam 9.26 pagi dengan disambut kira-kira 2,000 penyokongnya.