Sebanyak 65 kes rogol termasuk pasangan kekasih bawah umur di Kelantan direkodkan dalam tempoh Januari hingga Julai lalu.
Angka tersebut sekali gus mencatatkan lonjakan berbanding 54 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Hal ini menunjukkan secara purata berlaku sembilan kes rogol dalam tempoh sebulan di negeri digelar Serambi Mekah itu.
Pertambahan lebih enam peratus itu kebanyakannya membabitkan mangsa bawah umur berusia 13 hingga 16 tahun, selain pelaku berusia hingga 30-an.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata kebanyakan kes yang dilaporkan berlaku atas dasar suka sama suka, namun kerana di bawah umur masih dikategorikan sebagai jenayah rogol.
“Mangsa dan pelaku juga saling mengenali dengan mereka berkenalan di laman sosial seperti aplikasi Instagram, Whatapps dan selebihnya kenalan jiran dan rakan sekolah,” lapor BH hari ini.
Shafien memberitahu hasil siasatan pihaknya turut mendapati kebanyakan kes rogol dilakukan di rumah mangsa atau pelaku.
Jelasnya, ini berikutan mereka tidak boleh melakukan rentas negeri atau daerah ketika pandemik Covid-19.
Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa supaya lebih prihatin terutama terhadap anak perempuan selepas statistik kes rogol yang meningkat, diikuti kecurian motosikal.